KUALA LUMPUR – Hanya 44 dari 222 Ahli Parlimen didakwa menyokong cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan ‘mafia korporat’ dan isu berkaitan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, jumlah itu bersamaan kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan Ahli Parlimen, sekali gus mempersoalkan kesungguhan wakil rakyat dalam memperjuangkan agenda reformasi dan memerangi rasuah.

“Di Parlimen, 222 Ahli Parlimen, hanya 44 sahaja yang tandatangan. 44! Lebih kurang 20 peratus.

“Bagaimana ini boleh berlaku? Dalam Dewan Parlimen, hanya 44 Ahli Parlimen menyokong RCI?” katanya ketika berucap pada Himpunan Tangkap Mafia Korporat di luar pekarangan kompleks beli-belah Sogo, di sini, hari ini.

Satu perhimpunan yang dinamakan ‘Himpunan #TangkapMafiaKorporat’ berlangsung di hadapan Kompleks Beli-Belah Sogo. Foto AIMAN RIZAL, 27 SEPTEMBER 2026.

Menurut Wong Chen, cadangan RCI itu bukan bermaksud mana-mana individu telah didapati bersalah, sebaliknya bertujuan membolehkan dakwaan berkaitan disiasat secara bebas dan menyeluruh.

“Kita bukan kata mereka sudah didapati bersalah. Kita hanya mahu RCI mengenai Azam Baki dan mafia korporat,” katanya.

Beliau turut mendakwa sokongan terhadap cadangan RCI itu dalam kalangan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) sendiri tidak menyeluruh.

“Hanya kira-kira 35 peratus Ahli Parlimen DAP, 25 peratus daripada PKR dan dua dari lapan Ahli Parlimen Amanah menyokong cadangan berkenaan,” dakwanya.

Wong Chen berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan terhadap kesinambungan agenda reformasi yang pernah menjadi antara teras perjuangan PH.

“Apabila mereka berdiri di sini dan berkata mereka untuk reformasi, mereka akan lawan rasuah, tetapi Ahli Parlimen mereka sendiri tidak boleh digerakkan untuk menyokong RCI,” katanya.

Beliau turut menggesa golongan muda dalam DAP dan parti-parti PH supaya mendapatkan pendirian jelas setiap Ahli Parlimen berhubung cadangan RCI itu.

“Pergi jumpa setiap Ahli Parlimen. Tanya mereka, kamu sokong RCI atau tidak?” katanya.

Dalam ucapan sama, Wong Chen berkata perjuangan NGO Mandiri mengingatkannya kepada prinsip reformasi, keadilan sosial dan hak asasi manusia yang pernah diperjuangkannya ketika bersama Pakatan Rakyat dan PH.

Beliau mendakwa, kerajaan Madani kini berisiko menyimpang daripada prinsip tersebut jika ruang untuk kritikan, demonstrasi dan tuntutan rakyat terus ditekan.

“Madani berisiko menjadi tirani. Ini perkara yang kita perlu hentikan,” katanya.

Selain itu, katanya, sebelum beliau melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen, kumpulan NGO terbabit pernah dibawa ke Parlimen untuk bertemu wakil rakyat dan mendapatkan pendirian mereka berhubung cadangan RCI.

“Daripada 222 Ahli Parlimen, hanya 44 yang tandatangan,” katanya.

Beliau kemudian menyeru rakyat supaya mengambil kira pendirian calon masing-masing berhubung isu RCI berkenaan ketika membuat keputusan pada pilihan raya umum akan datang.

“Rakyat Malaysia, sebelum kamu mengundi, pastikan kamu tahu pendirian Ahli Parlimen kamu mengenai RCI Azam Baki.

“Ini isu paling penting – perjuangan menentang rasuah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here