KUALA LUMPUR – Gara-gara cemas disapa tiga lelaki tidak kenali, seorang lelaki bertindak memecut kereta untuk melarikan diri hingga terlanggarbeberapa kenderaan lain di tepi jalan dekat Pangsapuri Seri Intan, Lembah Jaya, Ampang semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, dalam kejadian jam 7 malam itu lelaki berkenaan telah dipukul tiga individu di hadapan Apartmen Okkid hingga tular di media sosial.
“Sebelum itu, mangsa berusia 27 tahun mendakwa baru selesai menghantar seorang rakan wanita pulang ke kediamannya selepas membuat aktiviti mendaki Bukit Melati, di Nilai, Negeri Sembilan.
“Kemudian, mangsa didatangi tiga lelaki yang mana salah salah seorang telah mengetuk cermin bahagian pemandu dan meminta mangsa untuk turun dari kereta.
“Oleh sebab takut, mangsa bertindak memecut keretanya manakala tiga lelaki terbabit mengejar, namun kenderaan dipandu mangsa telah melanggar beberapa kenderaan yang diparkir di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tamabh beliau, polis masih menyiasat motif tiga lelaki berkenaan mengetuk cermin kereta mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan 323 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular di media sosial satu klip video berdurasi 43 saat memaparkan sebuah kereta mengalami kerosakan dan cermin pecah pada bahagian penumpang belakang, serta beberapa lelaki dilihat menahan kenderaan itu. – MalaysiaGazette
















