KUALA LUMPUR – Menawarkan persembahan tarian ‘golongan sejenis’ oleh warga asing di sebuah pusat hiburan yang telah beroperasi sejak tahun lalu digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Klang Lama di sini semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi khas bermula 12.05 tengah malam itu dijalankan berdasarkan hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan.
“Pusat hiburan ini menyasarkan pelanggan warga tempatan dan asing di sekitar Lembah Klang dan mengenakan bayaran bermula RM53 hingga RM700 mengikut minuman dan tempahan meja pelanggan.
“Dalam serbuan itu, seramai empat warga asing ditahan melibatkan tiga lelaki warga China dan seorang warga Filipina yang kesemua berusia antara 21 hingga 31 tahun.
“Semakan awal mendapati, kesemua warga asing ini ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi itu disertai sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabatan Imigresen Putrajaya serta pegawai dari Agesnsi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Ibu Pejabat dan Kuala Lumpur.
Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dalam Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Manakala tiga lelaki warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Tegas beliau, JIM akan terus komited dan bekerjasama dengan agensi lain bagi melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini. – MalaysiaGazette















