KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan berkaitan beberapa isu melibatkan kerugian yang dialami oleh UiTM Holdings Sdn Bhd pada tahun 2023.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan perkara itu berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan berusaha menyiapkan siasatan dengan kadar segera secara bebas serta adil.
“Siasatan ini merangkumi pelbagai isu termasuk pembangunan projek solar 50MW di Gambang, Pahang di mana sejumlah RM42 juta dilaporkan telah dibayar bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek solar tersebut serta dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah (BOD),” katanya dalam kenyataan.
SPRM menegaskan, siasatan ini masih berjalan memandangkan kompleksiti kes yang melibatkan aspek teknikal serta menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan.
“Selain itu, bagi melengkapkan lagi proses penyiasatan, SPRM juga akan meneliti sekiranya terdapat isu-isu lain yang relevan termasuk kelemahan tatakelola sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, SPRM menyambut baik keprihatinan serta ketegasan Perdana Menteri dalam usaha melihat dan menyelesaikan kelemahan yang menjadi faktor kerugian ke atas UiTM Holdings Sdn Bhd. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kerajaan dalam proses teliti pengurusan, kelemahan UiTM Holdings – PM
















