MELAKA – Barisan Nasional (BN) Melaka akan mengadakan pertemuan pertama dengan sebuah gabungan atau parti esok bagi membincangkan kerjasama politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pertemuan itu bakal diadakan di Ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Ketua Menteri Melaka itu bagaimanapun enggan menyatakan gabungan atau parti yang akan mengadakan pertemuan itu.
Kata beliau, ia adalah pertemuan pertama sebelum disusuli beberapa lagi pertemuan selepas itu.
“Esok akan ada pertemuan, saya akan maklumkan selepas pertemuan yang pertama. Akan ada beberapa lagi pertemuan dan rumusannya saya akan angkat kepada biro politik parti sebelum diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT).
“Untuk kita menilik, memilih dan menilai kelebihan, kekurangan dan segala apa yang yang memberi manfaat kepada parti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Festival Masyarakat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) peringkat negeri di Semabok di sini hari ini.
Ab Rauf berkata, hasil pertemuan itu akan diteliti dengan mendalam sebelum dibentangkan ke mesyuarat MT.
“Kita akan membuat kajian yang lebih mendalam dan kita akan bentang dalam mesyuarat MT yang akan datang untuk kita putuskan siapakah rakan strategik kita di Melaka ini,” katanya.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan ibu pejabat parti itu akan mengadakan dua pertemuan berasingan minggu depan bagi membincangkan kerjasama menghadapi PRN Melaka.
Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun enggan mendedahkan gabungan atau parti yang akan ditemui, dengan menyifatkan perkara berkenaan masih di peringkat rundingan.
Ab Rauf sebelum ini berkata rundingan kerjasama dengan parti lain akan bermula selepas mendapat lampu hijau pimpinan tertinggi UMNO dan BN, selain menegaskan 21 kerusi DUN yang dimenangi BN pada PRN Melaka 2021 menjadi asas rundingan. – MalaysiaGazette
















