Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di mahkamah dijangka berdepan pertuduhan berkaitan pengisytiharan harta di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 OGOS 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen menetapkan Selasa ini bagi sebutan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap pertuduhan tidak mengisytiharkan harta iaitu wang tunai RM14.7 juta, jutaan mata wang asing serta lima jongkong emas, tahun lalu.

Menurut semakan laman web kehakiman, prosiding kes akan didengar di hadapan Hakim Suzana Hussin. Pemimpin UMNO itu dihadapkan ke mahkamah pada 27 Ogos lalu.

Beliau dibenar oleh mahkamah dibebaskan dengan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin terdiri daripada ahli keluarga manakala pasportnya tidak diserah sebagai syarat jaminan.

Prosiding kes itu menarik kehadiran pelbagai pihak ke mahkamah termasuk bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob.

Mengikut pertuduhan, Ismail Sabri, 66, didakwa sengaja memberikan pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 7 Januari 2025.

Notis berkenaan telah dihantar kepadanya oleh seorang pegawai SPRM pada 10 Januari 2025, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta di Ibu Pejabat SPRM, Presint 7, Putrajaya pada 7 Februari 2025.

Harta itu melibatkan wang tunai RM14,772,150, SG$6.1 juta, AS$1.46 juta, CHF3 juta, €12.16 juta, ¥363 juta, £50,250, NZ$44,600, Dirham Emiriah Arab Bersatu AED34.7 juta dan AU$352,850.

Ia termasuk lima jongkong emas Petak Suisse Fine Gold seberat satu kilogram setiap satu, selain satu jongkong perak Petak Suisse Fine Silver seberat 100 gram dan satu syiling emas 999 Fine Gold (lima gram).

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM100,000.

Pada prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan, Ifa Sirrhu Samsudin dan Nurul Qistini Qamarul Abrar.

Ismail Sabri pula diwakili peguam-peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, Datuk Seri Rajan Navaratnam, Ragunath Kesavan, Joshua Tay, Tan Xu Yin, Jason Anthony dan Ashwath Ramakrishnan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here