KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dijangka menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan pada minggu kedua bulan depan, menurut sumber.
Sumber itu berkata, keputusan berkenaan perlu dilihat dalam konteks kepentingan DAP untuk bergerak ke hadapan, dengan Anthony Loke dikatakan mengambil pendirian beliau perlu berundur bagi menjaga nama parti.
“Anthony Loke seorang yang berjiwa besar. Beliau perlu `pergi’ untuk menyelamatkan nama DAP.
“Beliau perlu fokus kepada DAP dan persiapan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16),” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut sumber itu, peletakan jawatan berkenaan dijangka berlaku dalam tempoh kurang dua minggu dari hari ini, selepas Anthony Loke sebelum ini menyatakan pendiriannya untuk berundur daripada Kabinet.
Dalam perkembangan sama, sumber berkenaan mendakwa Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkemungkinan memangku portfolio Menteri Pengangkutan sementara menunggu calon yang sesuai dilantik ke jawatan itu.
“Setakat ini kita difahamkan Steven Sim akan memangku jawatan berkenaan sehingga adanya calon untuk mengambil alih Kementerian Pengangkutan,” ujarnya.
Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam kini memegang portfolio Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Sumber itu berkata, selepas berundur daripada Kabinet, Anthony Loke dijangka memberi tumpuan lebih besar kepada urusan parti, khususnya persediaan DAP menghadapi PRU-16.
Katanya, perkembangan itu dilihat penting bagi membolehkan Anthony Loke memberi fokus kepada hala tuju dan strategi DAP menjelang pilihan raya umum akan datang.
Dalam pada itu, sumber berkenaan berkata, sebarang rombakan Kabinet tidak dijangka berlaku dalam masa terdekat, sebaliknya hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Rombakan Kabinet hanya selepas keputusan PRN Melaka,” jangka beliau.
Bagaimanapun, sumber itu mengakui perkembangan politik semasa sukar dijangka, malah sebarang perancangan boleh berubah dalam tempoh yang singkat.
“Dalam politik hari ini, apa sahaja boleh berlaku sekelip mata. Tidak boleh rancang begitu sahaja,” tegasnya berseloroh.
Anthony Loke sebelum ini mengumumkan keputusan untuk menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September lalu.
Pada 23 September, beliau menegaskan keputusan itu sudah dibuat dan akan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri selepas pulang dari China.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum itu berharap Anthony Loke mempertimbangkan semula keputusan tersebut, selain menyatakan beliau mahu bertemu dengan pemimpin DAP itu bagi membincangkan perkara berkenaan. – MalaysiaGazette
Anthony Loke kekal pendirian letak jawatan, serah surat sekembali dari China
















