SEREMBAN – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mempersoalkan mengapa Datuk Ismail Lasim menandatangani dokumen proklamasi yang sebelum ini beliau sendiri enggan tandatangani ketika masih menerajui kerajaan negeri.
Persoalan itu dibangkitkan susulan tindakan Ismail yang sebelum ini mengaitkan kemelut membabitkan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dengan pentadbiran terdahulu.
Aminuddin berkata, sekiranya kerajaan terdahulu didakwa melakukan kesalahan sehingga mencetuskan kemelut tersebut, perkara itu perlu dinyatakan secara jelas kepada rakyat termasuk tindakan dikatakan gagal dilakukan, peruntukan undang-undang yang dilanggar serta bila pelanggaran itu berlaku.
“Jangan sekadar menggunakan istilah ‘kerajaan terdahulu’ sebagai jawapan umum. Jika ada kesalahan, nyatakan kesalahannya. Jika ada pelanggaran undang-undang, nyatakan peruntukannya.
“Dalam perkara sebesar ini, rakyat berhak diberikan fakta yang jelas dan boleh diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aminuddin berkata, sepanjang beliau menjadi Menteri Besar, setiap tindakan dan keputusan yang dibuat boleh dinilai berdasarkan rekod, dokumen serta kronologi yang ada.
Beliau kemudian mendedahkan pada 20 April 2026, ketika masih menjadi Menteri Besar, dokumen proklamasi bertarikh 19 April 2026 telah dikemukakan kepadanya untuk ditandatangani dengan merujuk kepada proses di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Namun, Aminuddin memilih untuk tidak menandatangani dokumen tersebut selepas terdapat persoalan serius berkaitan proses yang telah dilalui.
Menurutnya, Perkara 10 bukan sekadar menyentuh kuasa berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, tetapi turut menetapkan proses tertentu yang perlu dipenuhi termasuk keperluan berkaitan siasatan yang penuh dan lengkap.
Pada ketika itu juga, katanya, terdapat pertikaian mengenai kedudukan salah seorang pihak yang terlibat sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
“Dalam keadaan terdapat persoalan seperti itu, saya mengambil pendirian berdasarkan nasihat undang-undang yang betul bahawa seorang Menteri Besar tidak sepatutnya meletakkan tandatangannya pada sebuah dokumen yang mempunyai implikasi begitu besar terhadap institusi Raja.
”Ini selagi persoalan mengenai proses dan kesahihannya belum benar-benar jelas.
“Ini pendirian saya dan Alhamdulillah hari ini pendirian ini kekal,” tegasnya.
Krisis N. Sembilan: Pentadbiran semasa bukan punca, diwarisi kerajaan terdahulu – MB Ismail
Persoalan itu, menurut Aminuddin, menjadi lebih ketara apabila Ismail selepas mengambil alih jawatan Menteri Besar kemudiannya menandatangani dokumen proklamasi berkenaan pada 3 Ogos 2026.
Ismail mengakui tandatangannya pada dokumen tersebut, namun mendakwa beliau berbuat demikian dalam keadaan dipaksa.
Dakwaan berkenaan telah dibawa kepada pihak berkuasa untuk siasatan.
Bagi Aminuddin, keadaan itu menimbulkan persoalan yang perlu dijawab sendiri oleh Menteri Besar kerana dokumen berkenaan sebelum itu tidak ditandatanganinya atas alasan terdapat keraguan terhadap proses.
“Jika saya ketika menjadi Menteri Besar boleh membuat keputusan untuk tidak menandatangani dokumen tersebut kerana mempunyai keraguan terhadap prosesnya, bagaimana pula tandatangan Menteri Besar selepas saya boleh berada pada dokumen yang sama?
“Inilah persoalan yang perlu dijelaskan secara terus kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin menegaskan Perkara 10 UUTKNS tidak boleh dianggap sebagai proses yang boleh diambil ringan kerana ia mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan Yang di-Pertuan Besar.
Pada 17 September lalu, Jabatan Peguam Negara menyatakan proklamasi bertarikh 19 April 2026 tidak sah kerana, menurut pendirian jabatan itu, kehendak mandatori Perkara 10 tidak dipatuhi.
AGC turut berpandangan Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Bagaimanapun, pendirian berkenaan dipertikaikan pihak yang mewakili Undang Yang Empat yang mendakwa proses siasatan pada 5 Mac dan 19 April telah memenuhi kehendak Perkara 10.
Aminuddin berkata, perbezaan pendirian itu sendiri menunjukkan bahawa isu pematuhan Perkara 10 merupakan perkara substantif yang perlu dijelaskan berdasarkan dokumen dan rekod.
“Saya bersedia bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang saya buat semasa menjadi Menteri Besar.
”Jika ada keputusan saya yang mahu dipersoalkan, kemukakan dokumen, tarikh dan peruntukan undang-undang yang berkaitan. Saya akan menjawab berdasarkan rekod,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau meminta Ismail menjelaskan tindakan dan keputusannya sendiri berhubung dokumen berkenaan, termasuk keadaan yang menyebabkan beliau menandatangani proklamasi sebelum kemudian mendakwa dirinya dipaksa.
“Rakyat berhak mengetahui mengapa tandatangannya berada pada dokumen proklamasi tersebut dan apakah keadaan sebenar yang menyebabkan beliau kemudian mendakwa dirinya dipaksa menandatangani.
“Persoalan itu tidak boleh dijawab dengan hanya menyalahkan kerajaan terdahulu,” tegas Aminuddin.
Beliau menegaskan, sebarang penjelasan mengenai kemelut tersebut perlu berasaskan fakta, proses dan rekod sebenar kerana ia membabitkan UUTKNS, Adat Perpatih serta institusi Yang di-Pertuan Besar.
“Tidak rugi menjadi pemimpin yang jujur. Tidak tercela mempertahan kebenaran,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette
















