Ismail Lasim dalam sidang akhbar hari ini. - Foto Facebook

KUALA LUMPUR – Kemelut institusi adat dan raja yang berlaku di Negeri Sembilan hari ini bukan berpunca daripada pentadbiran semasa.

Sebaliknya, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, ia merupakan masalah yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Menurutnya, kegagalan Menteri Besar ketika itu melaksanakan tanngungjawab sebagaimana diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), termasuk keengganan menyempurnakan proses sepatutnya dilaksanakan, telah menyebabkan kemelut itu berlarutan dan menjadi semakin parah.

Ujar beliau, kerajaan negeri hari ini menerima mandat rakyat dengan majoriti lebih dua pertiga dan mandat itu membawa bersama suatu amanah besar untuk memulihkan kestabilan pentadbiran.

Jelas beliau, ia termasuk mandat untuk mempertahankan keluhuruan UUTKNS 1959 serta memelihara kemuliaan institusi adat dan raja yang menjadi tunjuang identiti Negeri Sembilan.

Tambahnya, dakwaan kononnya kerajaan negeri dan Menteri Besar telah “menurunkan” Yang di-Pertuan Besar adalah tidak tepat.

Kata beliau, Negeri Sembilan mempunyai sistem pemerintahan beraja yang tersendiri dan unik berasaskan Adat Perpatih serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang mana Yang di-Pertuan Besar tidak dipilih oleh Menteri Besar atau Kerajaan Negeri.

“Undang-Undang Tubuh memperuntukkan peranan khusus kepada Undang Yang Empat dalam pemilihan Yang di-Pertuan Besar, manakala perkara berkaitan adat serta proses yang menyentuh kedudukan institusi berkenaan hendaklah dilaksanakan menurut peruntukan Undang-Undang Tubuh dan melalui institusi yang mempunyai bidang kuasa.

“Justeru, adalah tidak benar untuk menggambarkan seolah-olah Menteri Besar atau EXCO Kerajaan Negeri mempunyai kuasa secara unilateral untuk menentukan siapa yang menaiki atau meninggalkan takhta. Kerajaan Negeri tidak pernah mendakwa mempunyai kuasa sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, tambahnya, Kerajaan Negeri mengambil serius persoalan tatakelola pentadbiran, prinsip kebertanggungjawaban serta kewajipan setiap penjawat awam untuk menjalankan tanggungjawab secara profesional, berkecuali dan selaras dengan undang-undang.

Ujarnya, Kerajaan Negeri mesti diberikan ruang untuk menjalankan amanah tersebut secara sah, teratur dan berkesan tanpa sebarang campur tangan yang tidak berasaskan undang-undang, intimidasi, tekanan ataupun sekatan yang boleh menjejaskan fungsi sah sebuah kerajaan yang dipilih rakyat.

Jelasnya, menghormati institusi Raja dan Adat tidak bermakna menafikan fungsi Kerajaan Negeri, begitu juga menghormati mandat demokratik Kerajaan Negeri tidak pernah bermaksud mengurangi kemuliaan atau kedudukan Institusi Raja.

“Kedua-duanya mempunyai kedudukan, fungsi dan bidang kuasa masing-masing di sisi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh.

“Tidak boleh mana-mana pihak menggunakan pertikaian institusi sebagai alasan untuk melumpuhkan pentadbiran negeri, menghalang keputusan eksekutif yang sah ataupun menjejaskan keupayaan Kerajaan Negeri memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Rakyat telah memberikan mandat. Mandat itu wajib dihormati,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here