GEORGE TOWN – Keputusan syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan bagi syarikat yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) berpandukan keputusan Kabinet pada 2009, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu perlu dilihat sebagai pendirian kerajaan secara bersama.
“Seperti yang dinyatakan, keputusan itu berpandukan kepada keputusan Kabinet tahun 2009 dan sudah pasti perkara ini KPM perlu mendapat kepastian melalui Kabinet juga.
“Jadi sebab itu dalam isu ini, apa-apa keputusan itu adalah pendirian kerajaan secara bersama,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis KL20 Penang 2026 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di sini.
Menurut Akmal, kebimbangan berhubung perkara itu perlu diuruskan dengan cermat bagi mengelakkan telahan yang tidak produktif.
“Cuma isu spesifik ini sudah pasti berada di bawah KPM yang mana mereka telah pun membuat penjelasan dan sudah pasti perkara ini juga kita perlu harmonikan supaya tidak timbul polemik ataupun pandangan yang berbeza ataupun pelbagai.
“Walaupun perkara ini hanya baru diketengahkan hari ini, sudah pasti dari segi kekhuatiran, kebimbangan itu perlu diuruskan dengan cermat untuk mengelak daripada telahan yang tidak produktif,” katanya.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, agenda pemerkasaan Bumiputera turut diangkat menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dengan mengambil kira keupayaan segmen Bumiputera untuk diperkasakan tanpa menimbulkan kesan tidak diingini terhadap pembangunan serta pergerakan ekonomi keseluruhannya.
“Daripada segi komitmen berkenaan agenda Bumiputera kita dapat lihat bahawa ini komitmen berterusan.
“Seperti mana yang kita nyatakan dalam PuTERA35, pemerkasaan Bumiputera itu seharusnya dilihat dapat memacu kekuatan ekonomi bersama bukan dilihat daripada konteks yang agak kecil.
“Jadi, sebab itu perkara ini sememangnya di peringkat kebersamaan kerajaan dalam usaha kita mengangkat agenda Bumiputera itu perlu berpandukan juga kepada PuTERA35,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan KPM dalam kenyataan memaklumkan, pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS di bawah KPM.
Penyelarasan dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan serta memastikan ruang penyertaan dalam pendidikan kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara, menurut kenyataan KPM.
Menurut KPM, pihaknya mengambil maklum pandangan yang dibangkitkan berhubung syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi IPS tertentu yang dimiliki melalui syarikat sendirian berhad seperti yang dinyatakan dalam Buku Pernyataan Dasar IPS yang diterbitkan pada 2006. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
KPM gugur syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi IPS dikendalikan syarikat sendirian berhad
















