ISTANBUL – Menteri Luar Kanada Anita Anand berkata beliau sedang menyemak sama ada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, yang berdepan waran tangkap antarabangsa, akan melintasi ruang udara Kanada pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.
“Saya sebenarnya telah meminta jabatan saya untuk memberikan maklumat mengenai penerbangan lintas ruang udara ini, yang mana saya tidak memilikinya sebelum datang ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata Anand kepada pemberita pada Rabu di luar ibu pejabat PBB di New York, menurut CTV News.
Bagaimanapun, Anand enggan menyatakan sama ada Kanada menganggap Netanyahu sebagai penjenayah perang.
“Pendirian kami adalah untuk menghormati keputusan mahkamah antarabangsa dan menyokong, pada setiap masa, mereka yang menderita termasuk di Gaza, Palestin dan Tebing Barat serta memastikan jenayah terhadap kemanusiaan ditangani sewajarnya,” katanya.
Kenyataan beliau dibuat susulan kenyataan Perdana Menteri Kanada Mark Carney pada Oktober lepas, bahawa Netanyahu akan ditangkap sekiranya beliau memasuki Kanada.
Sebagai kenamaan asing yang menaiki pesawat negara, Netanyahu perlu memohon kebenaran diplomatik daripada Ottawa sekurang-kurangnya tiga hari bekerja sebelum memasuki ruang udara Kanada.
Pada November 2024, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant, setelah mendapati terdapat “asas munasabah” untuk mempercayai bahawa mereka memikul tanggungjawab atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Semenanjung Gaza.
Netanyahu dijadualkan melawat New York untuk berucap di Perhimpunan Agung PBB pada Khamis. – BERNAMA-ANADOLU
















