KUALA LUMPUR – Pertubuhan Al-Khair Malaysia (Alkhair Malaysia) menggesa kerajaan menangguhkan penghantaran pulang 1,476 warga Myanmar melalui fasa pertama Program Penghantaran Pulang Secara Sukarela yang dijadualkan pada 29 September ini.
Gesaan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap keselamatan dan keadaan kemanusiaan di Myanmar yang masih berdepan konflik serta keganasan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Alkhair Malaysia, Azfar Abdullah.
“Alkhair Malaysia berpandangan setiap individu yang bakal dihantar pulang perlu melalui penilaian risiko dan keperluan perlindungan secara menyeluruh terlebih dahulu khususnya mereka yang mungkin berdepan ancaman penganiayaan, keganasan atau risiko keselamatan sekiranya kembali ke sana.
“Aspek kemanusiaan dan keselamatan individu perlu menjadi pertimbangan utama dalam setiap proses penghantaran pulang termasuk memastikan tiada individu dihantar ke lokasi yang boleh mendedahkan mereka kepada penganiayaan atau ancaman serius,” katanya dalam kenyataan.
Walaupun Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951, prinsip tidak menghantar seseorang kembali ke tempat yang boleh menyebabkan mereka berdepan penganiayaan atau ancaman serius perlu diberi perhatian sewajarnya dalam menguruskan proses penghantaran pulang.
Sehubungan itu, kerajaan digesa memastikan penilaian risiko dan keperluan perlindungan dilaksanakan secara telus serta individu demi individu sebelum proses penghantaran pulang kira-kira 5,000 warga Myanmar diteruskan secara berperingkat.
Alkhair Malaysia menegaskan bahawa proses berkenaan tidak sepatutnya dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan hanya mengambil kira aspek pentadbiran atau imigresen sebaliknya turut mempertimbangkan keselamatan, keadaan kemanusiaan dan risiko yang bakal dihadapi setiap individu apabila kembali ke negara asal.
“Pendekatan berteraskan kemanusiaan, keselamatan dan maruah manusia perlu menjadi asas dalam memastikan sebarang keputusan penghantaran pulang tidak mendedahkan golongan rentan kepada risiko yang lebih besar,” katanya. – MalaysiaGazette
















