Menara Jam Makkah merupakan bangunan keempat tertinggi di dunia dengan ketinggian 607 meter dan mampu dilihat sejauh 13 kilometer yang menghiasi pemandangan menjadi mercu tanda di Masjidil Haram, Arab Saudi. Foto MOHD ADZLAN, 10 OGOS 2024.

ISTANBUL – Pertahanan Awam Arab Saudi mengesahkan keadaan bahaya telah berlalu di Makkah, Taif dan wilayah barat laut Tabuk, susulan amaran kecemasan yang dikeluarkan sebelum ini bagi kawasan berkenaan termasuk Jeddah dan Yanbu, lapor agensi berita Anadolu.

Dalam notis berasingan yang mengisytiharkan keadaan kembali selamat, agensi itu menggesa penduduk terus mematuhi arahannya serta mengelak daripada berkumpul atau merakam kejadian.

Makkah, Taif dan Jeddah terletak di bahagian barat Arab Saudi.

Manakala, Yanbu pula merupakan bandar pelabuhan di Laut Merah yang terletak lebih ke utara, manakala Tabuk berada di barat laut negara itu.

Pertahanan Awam sebelum ini mengeluarkan amaran menerusi platform amaran awal kebangsaan berhubung “potensi bahaya”.

Notis berkenaan tidak menyatakan jenis ancaman atau melaporkan sebarang kematian, kecederaan mahupun kerosakan.

Arab Saudi berdepan beberapa serangan peluru berpandu dan dron yang dikaitkan dengan kumpulan Houthi sejak kebelakangan ini.

Pada 20 Julai lalu, Houthi mengumumkan “sekatan maritim” terhadap Arab Saudi, sebelum mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap kapal serta lokasi yang mempunyai kaitan dengan Arab Saudi.

Arab Saudi mengetuai gabungan yang menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa sejak Mac 2015 dalam konflik menentang Houthi, yang menguasai ibu negara Sanaa dan beberapa wilayah sejak September 2014. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here