JOHOR BAHRU – Johor berminat mempelajari pendekatan Digital Penang yang melaksanakan Pelan Induk Ekonomi Digital (DEMP) 2025–2030 bagi memperkukuh ekosistem ekonomi digital dan pembangunan bakat di negeri ini.
Susulan itu, delegasi Kerajaan Negeri Johor diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali melakukan lawatan ke negeri tersebut hari ini.
Delegasi tersebut menerima taklimat dan perkongsian daripada Ketua Pegawai Eksekutif Digital Penang, Ts Ng Kwang Ming bersama-sama pasukannya mengenai pelaksanaan DEMP 2025–2030.
Menurut Naqib, antara yang menarik perhatian ialah pendekatan menyeluruh Digital Penang yang menggabungkan empat komponen utamanya.
Ia melibatkan Digital Government, Digital Economy, Digital Society dan Digital Foundation merangkumi pembangunan bakat digital, inovasi dan startup, pendigitalan perusahaan, literasi digital serta pengukuhan infrastruktur.
“Turut dikongsikan ialah pelaksanaan 42 Penang, satu pendekatan pembangunan bakat digital yang memberi perspektif berguna tentang bagaimana kemahiran masa hadapan boleh dibangunkan selari dengan keperluan industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua perkara yang baik, bersesuaian dan relevan akan dipelajari untuk diadaptasikan di negeri ini.
“Sebagai langkah susulan, segala input dan amalan terbaik daripada lawatan ini akan saya teliti bersama-sama Johor Talent Development Council (JTDC), khususnya dalam menyelaras agenda pendigitalan, pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan VokasionAl (TVET) dan pembangunan bakat agar lebih responsif kepada keperluan industri,” katanya.
Ujarnya, langkah itu penting dalam mempersiapkan anak Johor merebut peluang pekerjaan baharu melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di samping menyokong perancangan pembangunan Majlis Digital Negeri Johor yang sedang diperincikan.
Jelasnya, ini kerana dalam kerangka Agenda Maju Johor 2030, pertumbuhan ekonomi, kemajuan digital dan pembangunan modal insan perlu bergerak seiring.
“Kita bukan sekadar mahu membawa lebih banyak peluang pekerjaan ke Johor. Kita mahu memastikan anak Johor mempunyai kemahiran, keupayaan dan keyakinan untuk mengisi peluang-peluang tersebut,” katanya.- MalaysiaGazette
















