Gelagat banduan di dalam sel penjara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Penjara Kajang, Kajang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 19 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia perlu menerima kritikan dan memastikan mekanisme pemantauan serta akauntabiliti dilaksanakan bagi menjamin keselamatan individu di bawah jagaannya.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Azura Nasron berkata, pihaknya mengambil maklum penafian Jabatan Penjara Malaysia terhadap dakwaan penyanyi Yasin Sulaiman mengenai kewujudan hierarki, pengaruh wang dan akses kepada dadah dalam penjara.

Malah, Suaram juga maklum bahawa Yasin kemudian menarik semula kenyataan berkenaan dan menjelaskan keadaan dirinya ketika kenyataan itu dibuat.

“Namun, penarikan semula kenyataan tersebut tidak seharusnya menutup persoalan yang lebih besar mengenai keselamatan, integriti dan akauntabiliti dalam institusi penjara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azura berkata, pihaknya memandang serius kenyataan Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Malaysia, Mohamad Rosidek Musa bahawa ramai bekas banduan berjaya selepas dibebaskan dan mempersoalkan mengapa masyarakat perlu memberi tumpuan kepada perkara negatif.

Katanya, sungguhpun kejayaan bekas banduan dan program pemulihan sememangnya perlu diiktiraf, namun ia tidak boleh mengetepikan tanggungjawab institusi penjara untuk memastikan keselamatan banduan.

Apatah lagi, pemulihan adalah tanggungjawab institusi penjara, dan memastikan keselamatan banduan juga adalah tanggungjawab institusi penjara.

Beliau berkata, persoalan utama bukannya sama ada masyarakat perlu memberi tumpuan kepada perkara positif atau negatif, sebaliknya sama ada setiap individu di bawah jagaan negara dilindungi daripada keganasan, penyeksaan, layanan buruk, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Bahkan, Azura berkata, kewujudan prosedur operasi standard (SOP) tidak dengan sendirinya membuktikan ia dipatuhi.

Katanya, siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia berhubung insiden di Penjara Taiping menemukan pelbagai pelanggaran serius, termasuk penggunaan kekerasan fizikal berlebihan, layanan yang menjatuhkan maruah, kegagalan memberikan rawatan perubatan mencukupi serta kelemahan pengurusan dan akauntabiliti.

“SOP hanya bermakna sekiranya terdapat pemantauan yang mampu mengesan pelanggaran dan mekanisme akauntabiliti yang dapat mengambil tindakan apabila pelanggaran berlaku,” katanya.

Azura berkata, kerajaan juga sebelum ini menyatakan komitmen memastikan reformasi penjara selaras dengan United Nations Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners atau Nelson Mandela Rules.

Peraturan 83 hingga 85 Mandela Rules menetapkan keperluan pemeriksaan dalaman dan luaran oleh badan bebas daripada pentadbiran penjara, termasuk akses kepada maklumat, institusi dan banduan melalui lawatan tanpa notis awal serta temu bual sulit.

Artikel berkaitan: Jabatan Penjara tak kompromi aspek keselamatan, kawalan, displin dan kebajikan prospek

Yasin mohon maaf kepada Jabatan Penjara

Sehubungan itu, Suaram menggesa kerajaan dan Jabatan Penjara Malaysia memastikan komitmen berkenaan dilaksanakan secara berkesan.

“Pemeriksaan penjara perlu dilakukan secara berkala dan bebas, dengan akses tanpa halangan kepada banduan dan maklumat berkaitan, serta setiap dapatan pelanggaran perlu disusuli dengan siasatan dan tindakan yang telus.

“Dalam institusi tertutup seperti penjara, pemantauan bebas bukanlah usaha mencari ‘perkara negatif’. Ia adalah perlindungan yang diperlukan untuk memastikan kuasa negara tidak terlepas daripada semak dan imbang, dan keselamatan setiap individu di bawah jagaannya terjamin,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here