Gambar kenangan Anwar Ibrahim bersama abangnya, Idrus.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian abang sulungnya, Idrus Ibrahim, yang meninggal dunia hari ini.

Anwar berkata, beliau menerima khabar duka itu ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia.

“Dalam perjalanan pulang ke Malaysia, saya menerima khabar yang meruntun jiwa bahawa abang saya, Idrus Ibrahim, telah pergi buat selama-lamanya,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.

Menurut Anwar, pemergian Allahyarham amat dirasai kerana Idrus merupakan sosok yang berkongsi banyak kenangan sepanjang perjalanan hidupnya.

“Sukar untuk saya ungkapkan rasa kehilangan ini apabila seorang sosok yang berkongsi begitu banyak kenangan sepanjang perjalanan hidup kini telah tiada, dan hanya Allah SWT yang tahu betapa beratnya hati menerima kenyataan ini.

“Terkilan kerana tidak sempat berada di sisi pada saat-saat akhirnya, namun saya reda meski hati ini masih cuba menerima sebuah perpisahan yang tidak pernah kita bersedia untuk hadapi,” katanya.

Anwar turut merakamkan penghargaan atas segala kenangan dan kebaikan yang ditinggalkan Allahyarham.

Beliau pada masa sama memohon orang ramai menitipkan doa buat Allahyarham Idrus agar diampuni segala khilaf, dilimpahkan rahmat serta ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang beriman dan beramal soleh.

“Al-Fatihah,” katanya lagi.

Allahyarham merupakan seorang pesara guru, dan pernah menetap di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, iaitu kampung halaman keluarga Anwar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here