KUANTAN — Tidak perlu menunggu menyertai institusi tahfiz, orang ramai yang menghafaz al-Quran secara persendirian di rumah kini boleh mendapatkan bimbingan dan menyemak hafazan bersama pengajar di masjid-masjid terpilih di Pahang.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, kemudahan berkenaan sudah dilaksanakan dengan lebih 100 pengajar ditempatkan di masjid-masjid di seluruh negeri.
Pendekatan itu membolehkan individu yang menghafaz al-Quran secara sendiri mendapatkan semakan bacaan selain memperbetulkan hafalan mereka dengan bimbingan tenaga pengajar.
“Kita ada lebih kurang 100 lebih pengajar yang berada di Negeri Pahang yang mengajar di masjid-masjid. Jadi mana-mana individu yang menghafal al-Quran di rumah mereka boleh pergi kepada masjid-masjid tertentu untuk dia perbetulkan hafazan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengisytiharan Oktober sebagai Bulan al-Quran di peringkat nasional.
Ahmad Hairi berkata, kemudahan semakan hafazan itu akan terus diperkemas dari semasa ke semasa bagi memberi peluang lebih ramai masyarakat mendekati al-Quran.
Dalam pada itu, beliau berkata, MUIP turut merancang menganjurkan program berskala lebih besar berkaitan al-Quran bersempena Bulan al-Quran pada Oktober ini.
“Mungkin bulan Oktober ini juga kita akan mengadakan satu program yang lebih besarlah untuk al-Quran dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dilaporkan berkata pengisytiharan Oktober sebagai Bulan al-Quran dibuat bersempena Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66 tahun ini. – MalaysiaGazette
















