Foto Instagram Fikry Ibrahim.

KUALA LUMPUR Pelakon dan pelawak, Fikry Ibrahim, 32, mengesahkan sudah bercerai dengan bekas isteri, Siti Khalizah Alihan, 38, sejak 173 hari lalu iaitu pada April lalu.

Bekas pengacara Melodi itu mengumumkan perceraiannya melalui hantaran media sosial sambil memaklumkan dia mengambil masa sebelum berkongsi mengenainya atas alasan ada perkara yang lebih baik disimpan dan dilalui dengan tenang.

“Dengan izin Allah, saya ingin berkongsi bahawa saya dan bekas isteri berpisah sejak 173 hari yang lalu.

“Saya memilih untuk mengambil sedikit masa sebelum berkongsi kerana ada perkara yang lebih baik disimpan dan dilalui dengan tenang.

“Bukan kerana mahu menyembunyikan, tetapi kerana saya perlukan ruang untuk mengumpul kekuatan dan menerima ketentuan-Nya,” tulisnya.

Fikry menambah, dia tidak mahu meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak atas perpisahan yang berlaku, sebaliknya menganggapnya sebagai perjalanan hidup yang sudah ditentukan Allah SWT.

“Tiada siapa yang perlu dipersalahkan. Ada perjalanan yang Allah izinkan untuk kita tempuh bersama dan ada perjalanan yang akhirnya membawa kita ke jalan yang berbeza,” katanya.

Foto perkahwinan Fikry Ibrahim dan bekas isterinya.

Dalam perkongsian sama, Fikry turut mendoakan agar bekas isterinya sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT, dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan.

“Saya juga berdoa agar Allah memberikan saya ketenangan, kekuatan dan kebahagiaan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Mengakui bekas isterinya pernah menjadi insan yang dicintai dan sebahagian daripada perjalanan hidupnya, Fikry memilih untuk mengenang hubungan mereka dengan doa serta penghargaan.

“Walaupun kini kami tidak lagi bersama, dia tetap pernah menjadi seseorang yang saya cintai dan pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya.

“Untuk itu, saya memilih untuk mengenangnya dengan doa dan terima kasih kerana pernah menjadi isteri saya,” katanya.

Fikry mengakhiri perkongsian dengan doa agar mereka diberikan perlindungan, keampunan serta kehidupan yang lebih baik selepas melalui fasa berkenaan.

“Semoga Allah menjaga kita masing-masing, mengampuni segala kekurangan, dan menggantikan setiap yang telah berlalu dengan sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Fikry dan bekas isterinya bernikah dalam majlis tertutup di Jitra, Kedah, pada 12 Februari tahun lalu.

Pada Mei tahun sama, Siti Khalizah dilapor memfailkan permohonan cerai terhadap Fikry di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan alasan tiada persefahaman.

Bagaimanapun, Jun lalu, Siti Khalizah dilapor menarik balik permohonan cerai itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here