Klinik Seri Cahaya di Ampang tampil konsep Pay As You Can.

AMPANG – Tidak mahu kekangan kewangan menyebabkan seseorang terpaksa menangguhkan rawatan, Klinik Seri Cahaya memperkenalkan inisiatif pay as you can bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan mengikut kemampuan masing-masing.

Jurucakap Klinik Seri Cahaya berkata, pendekatan itu diperkenalkan atas kesedaran bahawa kos rawatan boleh menjadi beban kepada sesetengah keluarga terutama ketika berdepan tekanan kos sara hidup.

“Kami percaya tiada siapa sepatutnya terpaksa mengabaikan kesihatan hanya kerana tidak mempunyai kemampuan untuk membayar sepenuhnya.

“Melalui konsep ini, kami cuba memberikan ruang kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan dan membayar mengikut kemampuan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sekadar soal bayaran sebaliknya mencerminkan komitmen klinik untuk memastikan perkhidmatan kesihatan dapat diakses oleh masyarakat yang memerlukan.

“Bagi kami, kesihatan adalah keperluan asas. Kalau seseorang datang mendapatkan rawatan dalam keadaan susah, kita tidak mahu perkara pertama yang difikirkannya ialah sama ada dia mampu membayar atau tidak.

“Apa yang lebih penting ialah mereka mendapat rawatan yang diperlukan. Soal kemampuan itu kita cuba lihat berdasarkan keadaan dan kes,” jelasnya.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan turut selari dengan prinsip Klinik Seri Cahaya yang mengutamakan kualiti penjagaan kesihatan, belas ihsan dan kepentingan masyarakat.

“Kami mahu bina komuniti yang lebih sihat. Kalau kita boleh membantu seorang pesakit hari ini, mungkin kesannya bukan kepada seorang itu sahaja tetapi kepada seluruh keluarganya,” katanya.

Bagaimanapun, konsep pay as you can adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan pihak klinik.

Klinik Seri Cahaya beroperasi 24 jam di Pandan Cahaya, Ampang dan boleh dihubungi di 03-4288 9991 atau WhatsApp 012-206 7842. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here