ISKANDAR PUTERI – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Pulai Jaya, Skudai di sini sejak 13 September lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Saifullah Jaya @ Yahaya berkata, Hidayat Melan Tawfek, 24, didapati tidak pulang ke rumah dan sehingga kini masih gagal dikesan.
“Anggota di Balai Polis Kangkar Pulai menerima laporan berhubung kehilangan lelaki tempatan itu pada pukul 8.09 malam semalam.
“Lokasi terakhir Orang Hilang (OH) dilihat adalah di Nombor 1608, Jalan Pulai Jaya 50, Taman Pulai Jaya, Skudai.
“Ciri-ciri fizikal OH berkenaan adalah berketinggian 161 sentimeter (cm), berat badan sekitar 70 kilogram (kg) serta berbadan kurus,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, OH terbabit mempunyai warna kulit kuning langsat, rambut lurus berwarna hitam berserta potongan pendek, berhidung mancung, bibir nipis dan berseri sertagigi bertindih.
Menurutnya, lelaki itu tidak memakai cermin mata dan mempunyai mata berwarna hitam serta bentuk mata bulat.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung keberadaan lelaki berkenaan diminta tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Ketua Polis Balai Kangkar Pulai, Sub Inspektor Wan Azhar Wan Ariffin menerusi talian 019-9997233; Balai Polis Kangkar Pulai 07-5271255; Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri 07-5113622 atau hotline 07-5114486.- MalaysiaGazette
















