Tangkap layar video yang tular memaparkan tindakan seorang lelaki mengasari seorang wanita dalam kejadian dipercayai di Felda Kledang, Gugusan Adela, Kota Tinggi.

KOTA TINGGI – Tular video memaparkan tindakan seorang lelaki mengasari seorang wanita dalam kejadian dipercayai di Felda Kledang, Gugusan Adela di sini.

Video berdurasi 44 saat itu mendapat perhatian netizen apabila kandungannya menunjukkan seorang lelaki bertindak menolak dan menendang seorang wanita.

Dalam video berkenaan juga, ketika mengasari wanita terbabit, lelaki itu turut memarahinya dan menghamburkan kata-kata kesat.

Tindakannya itu dilihat cuba dihalang dan ditenangkan beberapa individu dipercayai ahli keluarganya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya mengesan video itu selepas dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook ‘Sam Lim’ pada 9.30 pagi tadi.

“Laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat oleh seorang wanita tempatan yang juga individu yang merakam kejadian berkenaan.

“Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes masih dalam siasatan pihak polis dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta memudaratkan mana-mana pihak.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here