KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak mempunyai kuasa membatalkan pelantikan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tanpa nasihat Menteri Besar (MB), menurut peguam, Emirul Sarifudin Nor Azmi.
Beliau yang mewakili pihak Undang Yang Empat, Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar dan Tunku Besar Tampin berkata, kuasa Raja dalam urusan pentadbiran di bawah Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) pada asasnya perlu dilaksanakan atas nasihat MB dan Exco.
Menurut beliau, kuasa berkaitan tempoh perjawatan anggota Exco di bawah Perkara 38(5) UUTKNS tidak boleh dibaca secara berasingan, sebaliknya perlu ditafsirkan bersama Perkara 38(4), 40(1) dan 40(2).
“Secara asasnya kuasa Raja dalam hal pentadbiran (Bahagian Kedua UUTKNS) adalah kuasa atas nasihat MB dan Exco,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hujah beliau, Perkara 38(4) perlu diambil kira kerana peruntukan itu berkaitan keadaan apabila Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), yang menyebabkan beliau perlu mengemukakan peletakan jawatan seluruh Exco, kecuali jika Dewan dibubarkan atas permintaannya.
“Kuasa untuk memberi perkenan kepada tempoh perjawatan Exco dalam Perkara 38(5) hanya boleh dilaksanakan atas nasihat atau permintaan MB dan hanya terpakai sekiranya MB masih belum hilang sokongan majoriti atau meletakkan jawatan seperti dalam Perkara 38(4),” katanya.
Emirul menambah, sekiranya keadaan seperti diperuntukkan dalam Perkara 38(4) berlaku, Raja tidak boleh menggunakan Perkara 38(5) kerana kedudukan Exco turut terhenti bersama-sama dengan jawatan MB.
“Jika keadaan 38(4) berlaku, Raja tidak boleh menggunakan 38(5) kerana Exco terhenti bersama-sama MB.
“Selagi MB kekal, kedudukan Exco ditentukan atas nasihat MB, selaras dengan 40(1),” katanya.
Beliau turut berhujah bahawa kuasa budi bicara Raja dalam urusan eksekutif adalah terhad kepada perkara yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2), manakala pembatalan pelantikan Exco tanpa nasihat MB, tidak termasuk dalam ruang kuasa budi bicara tersebut.
“Jika pemecatan Exco dibuat tanpa nasihat MB, ia secara undang-undang adalah khilaf, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa,” katanya.
Malam tadi, Tuanku Muhriz mengumumkan pembatalan ppelantikan barisan Exco Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Beliau berkata, menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Exco memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Ahli-ahli berkenaan telah masing-masing mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lepas, sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette
Tuanku Muhriz batal pelantikan Exco Kerajaan Negeri Sembilan serta-merta
















