Armand Azha Abu Hanifah.

 

KUALA LUMPUR – Perbahasan berhubung tafsiran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, khususnya berkaitan kedudukan dan tempoh perkhidmatan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) perlu diteliti berdasarkan keseluruhan kerangka Perlembagaan negeri itu.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah berkata, isu berkenaan tidak wajar dilihat dengan membaca mana-mana satu peruntukan secara berasingan.

Menurutnya, Perkara 38 memperuntukkan struktur serta pelantikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, termasuk anggota Exco selain Menteri Besar yang dilantik Yang di-Pertuan Besar atas nasihat Menteri Besar.

“Pada masa yang sama, Perkara 38(4) menetapkan kedudukan Exco apabila Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri.

“Perkara 40 pula menetapkan prinsip umum bahawa dalam menjalankan fungsi di bawah Perlembagaan Negeri atau undang-undang, Yang di-Pertuan Besar hendaklah bertindak menurut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, tertakluk kepada pengecualian yang dinyatakan dalam Perlembagaan.

“Perkara 40(2) pula menyenaraikan fungsi-fungsi tertentu yang boleh dilaksanakan menurut budi bicara,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Justeru, katanya, persoalan mengenai kuasa terhadap anggota Exco tidak wajar dilihat hanya berdasarkan frasa ‘atas perkenan’ atau ‘atas nasihat’ secara terpisah.

Sebaliknya, ia perlu dibaca bersama Perkara 38, Perkara 40 serta keseluruhan struktur pemerintahan eksekutif Negeri Sembilan.

“Dalam keadaan Menteri Besar masih memegang jawatan dan  mempunyai kepercayaan majoriti Dewan.

“Persoalan mengenai pelantikan dan kedudukan anggota Exco perlu dilihat dalam konteks peruntukan yang memberikan peranan khusus kepada Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri masih kekal,” katanya.

Dalam masa sama, Armand berkata, pihaknya menghormati kedudukan serta prerogatif Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagaimana diperuntukkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Namun, pihaknya perlu memberikan penjelasan bahawa segala tindakan dan keputusan berkaitan pentadbiran negeri hendaklah sentiasa berlandaskan Perlembagaan, undang-undang serta prinsip keluhuran perlembagaan.

“Perbezaan tafsiran undang-undang hendaklah diselesaikan melalui saluran perundangan dan institusi yang sewajarnya, bukan melalui polemik politik semata-mata,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here