KUALA LUMPUR – Syarat pelesenan pusat kecantikan dan kesihatan termasuk spa serta premis urutan di Kuala Lumpur akan ditambah baik bagi memudahkan pengusaha menjalankan perniagaan secara sah, selain memastikan aspek penguatkuasaan dan integriti terus terpelihara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, penambahbaikan itu penting bagi memastikan syarat yang ditetapkan lebih mudah difahami pengusaha tanpa menjejaskan standard dan integriti industri.
“Kita mahu syarat yang lebih mudah difahami oleh pengusaha tetapi standard dan integriti mesti dijaga. Proses mesti bersih dan tidak boleh ada ruang untuk rasuah atau bayaran tidak sah,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Terdahulu, Hannah berkata, perkara tersebut dibincangkan bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berikutan keperluan menyelaras syarat serta pelaksanaan berkaitan industri berkenaan.
Jelasnya, penyelarasan seterusnya akan dipengerusikan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Menurut Hannah, Kuala Lumpur menerima pelancong dari seluruh dunia, termasuk pelancong Muslim, sekali gus memerlukan aspek pelancongan mesra Muslim diberi perhatian dalam pembangunan industri berkenaan.
“Justeru, kepakaran ITC penting bagi memastikan keperluan pasaran pelancongan mesra Muslim turut diambil kira dalam penambahbaikan syarat serta pelaksanaan industri pusat kecantikan dan kesihatan.
“Matlamat kita ialah memudahkan perniagaan yang sah, memastikan agensi kerajaan bergerak bersama dan menjaga imej Kuala Lumpur serta Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
















