KUALA LUMPUR – Peningkatan pendapatan rakyat pada 2025 menunjukkan usaha kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkukuh ekonomi negara mula membuahkan hasil, kata penganalisis ekonomi.
Pensyarah Kanan Ekonomi UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, sepanjang tempoh Anwar menjadi Perdana Menteri, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk memperkukuh ekonomi pada peringkat makro.
Antara langkah berkenaan termasuk meningkatkan gaji minimum dan pelarasan gaji kakitangan awam, selain mempergiat usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) serta pelaburan langsung domestik (DDI).
“Adakah ia memadai? Bagi saya usaha itu usaha yang baik dan berterusan tetapi tidak mencapai lagi hasrat yang harus diterjemahkan kepada rakyat Malaysia yang sedia ada.
“Kerana pada masa sama kita dihimpit dengan peperangan global yang menyebabkan kenaikan harga minyak melambung tinggi sehingga memberi kesan ketara kepada sektor pengangkutan, pelancongan, industri makanan, sektor eksport-import dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Bashir berkata, perkembangan ekonomi negara masih berdepan tekanan akibat situasi geopolitik global yang sedikit sebanyak merencatkan pertumbuhan ekonomi.
Sehubungan itu, Belanjawan 2027 perlu memberi perhatian terhadap usaha memastikan ekonomi negara terus berdaya saing, selain memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya golongan M40 dan B40 tidak terpinggir.
“Saya mengharapkan belanjawan tahun ini akan memberikan lebih penekanan bagaimana kerajaan boleh mengatasi aspek-aspek elemen yang berlaku di global ini yang dapat diterjemahkan dalam Belanjawan 2027 dengan mekanisme yang dirasakan sesuai untuk membantu makroekonomi negara terus berkembang maju,” katanya.
Berdasarkan Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), purata gaji dan upah bulanan warganegara Malaysia meningkat 4.1 peratus kepada RM3,803 pada 2025 berbanding RM3,652 pada 2024.
Penengah gaji dan upah bulanan turut meningkat 5.3 peratus kepada RM2,940 daripada RM2,793 pada tahun sebelumnya.
DOSM memaklumkan bilangan penerima gaji dan upah bulanan keseluruhan turut meningkat kepada 12.01 juta orang berbanding 11.96 juta pada 2024, dengan warganegara Malaysia merangkumi 10.38 juta orang atau 86.4 peratus daripada keseluruhan pekerja bergaji sepenuh masa. – MalaysiaGazette
















