KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) dikritik berikutan menarik syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera bagi institusi pendidikan swasta (IPS) tertentu yang dimiliki melalui syarikat sendirian berhad.
Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Muhammad Akmal secara sinis mengucapkan tahniah kepada kerajaan Madani atas ketetapan yang diambil oleh KPM.
“Kita sibuk berpecah, kerja mereka tetap berjalan, tahniah Madani,” katanya dalam perkongsian di media sosial.
Terdahulu KPM berkata, pihaknya mengambil maklum pandangan yang dibangkitkan berhubung syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera bagi institusi pendidikan swasta (IPS) tertentu seperti yang dinyatakan dalam Buku Pernyataan Dasar IPS diterbitkan pada 2006.
Dalam pengumuman yang dibuat semalam, KPM bersetuju bahawa ketetapan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS bawah KPM.
Ia selepas sesi perbincangan antara KPM dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
KPM berkata, penyelarasan dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan serta memastikan ruang penyertaan dalam pendidikan kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.
Tambah KPM, pihaknya menghargai sumbangan semua pengusaha IPS dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan pendidikan anak-anak Malaysia.-MalaysiaGazette
















