Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Isteri Datin Seri Rosmah Mansor. foto MALAYSIAGAZETTE

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor meluahkan rasa syukur dan terharu dengan sumbangan pelbagai pihak terhadap Tabung Solidariti yang ditubuhkan bagi mengumpul dana bagi membolehkan suaminya, Datuk Seri Najib Razak, menjalani tahanan di rumah.

Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Rosmah berkata, sumbangan yang diterima bukan sahaja daripada sahabat dan rakan-rakan dalam negara, malah dari luar negara.

Antaranya, kata beliau, dari Brunei, Itali, Singapura sehinggalah sejauh di Kanada.

“Mereka telah menghubungi saya untuk menyatakan kegembiraan mereka terhadap perkembangan terkini mengenai Datuk Sri Najib sambil menyatakan hasrat untuk memberi sumbangan.

“Mereka hanya mahu melihat Datuk kembali bersama keluarga. Itu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Rosmah berkata, beliau tidak pernah menyangka begitu ramai yang masih mengambil berat dan sanggup tampil membantu dengan penuh keikhlasan.

“Hari ini, saya sedar siapa sahabat yang sentiasa bersama kami ketika susah dan senang.

“Alhamdulillah, terima kasih sekali lagi atas segala doa, kasih sayang dan keikhlasan kalian,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan Tabung Solidariti Najib Razak berjaya mengumpulkan dana mencecah RM1 juta setakat jam 9.30 pagi.

Tabung itu diwujudkan susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, pelaksanaan tahanan rumah itu tertakluk kepada beberapa syarat termasuk penyelesaian denda berjumlah RM50 juta.

Sebelum ini, UMNO mengumumkan pelancaran tabung khas bagi membantu meringankan beban kewangan Najib untuk melunaskan denda berkenaan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu digerakkan atas semangat solidariti dan berharap kepimpinan parti, ahli, penyokong serta mana-mana pihak yang ingin menunjukkan sokongan dapat menyumbang secara sukarela. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here