Setiausaha Agung DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook hadir bagi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP ketika di ibu pejabat DAP, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Loke berkata, keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengadakan perbincangan kira-kira tiga jam hari ini bagi menentukan pendirian dan tindakan parti susulan keputusan membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tawaran peletakan jawatan itu hanya membabitkan dirinya sebagai anggota Jemaah Menteri dan bukan menteri atau timbalan menteri DAP yang lain.

Menurutnya, wakil DAP yang memegang jawatan dalam kerajaan akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ahli-ahli Jemaah Menteri yang lain yang mewakili DAP termasuk menteri dan timbalan menteri serta jawatan-jawatan lain akan kekal terus berada dalam kerajaan kerana kita tahu bahawa ada pihak-pihak yang menunggu DAP untuk keluar daripada kerajaan.

“Ini akan menyebabkan ketidakstabilan politik dan menyebabkan Perdana Menteri tidak mempunyai majoriti dan seterusnya Parlimen terpaksa dibubarkan ataupun perubahan kerajaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Keputusan itu dicapai selepas CEC DAP bermesyuarat selama kira-kira tiga jam bermula jam 3 petang di ibu pejabat parti itu di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Mesyuarat berkenaan diadakan sehari selepas Loke mengumumkan kepimpinan pusat DAP akan menentukan pendirian serta tindakan susulan parti terhadap keputusan pengampunan bersyarat Najib.

Semalam, Loke berkata DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan serta menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan Keluhuran Perlembagaan.

Pada masa sama, beliau menegaskan pendirian DAP berhubung prinsip keadilan dan akauntabiliti dalam isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Jumaat memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara.

Berita lanjut menyusul. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here