KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Foo mengesahkan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP bermesyuarat esok untuk membincang dan memutuskan pendirian dan tindakan susulan parti selepas Datuk Seri Najib Razak diberi pengampunan bersyarat.
Tegasnya, DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Malah parti itu juga menurut beliau sentiasa menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan Keluhuran Perlembagaan, di samping mempertahankan kedaulatan undang-undang serta perjuangan menentang rasuah.
“DAP sejak awal konsisten menuntut keadilan dan akauntabiliti dalam skandal 1MDB. Kami memperjuangkan supaya penyelewengan ini disiasat secara menyeluruh dan mereka yang bertanggungjawab dibawa untuk melalui proses undang-undang yang bebas dan adil.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh, telah menyampaikan pendirian dan pandangan yang selaras dengan prinsip perjuangan DAP ketika menjalankan tanggungjawab beliau sebagai anggota Lembaga Pengampunan.
“Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh beliau, pandangan tersebut disampaikan secara jujur dan berterus terang demi kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Anthony, sabitan terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam kes melibatkan 1MDB merupakan kesalahan yang telah diputuskan oleh mahkamah serta kesannya terhadap negara tidak boleh dilupakan.
Katanya, kesan kewangan penyelewengan tersebut masih ditanggung oleh negara dan rakyat sehingga hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan pada 13 September 2026, keseluruhan obligasi 1MDB yang ditanggung kerajaan berjumlah RM51.4 bilion, merangkumi RM42.5 bilion yang telah dibayar oleh Kerajaan serta baki hutang RM8.9 bilion.
Tambah beliau, DAP tidak akan melupakan kemarahan rakyat terhadap skandal 1MDB merupakan antara faktor utama yang membawa kepada perubahan kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018.
Tegasnya, amanah rakyat untuk menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan terus menjadi pegangan DAP. -MalaysiaGazette
















