KUANTAN – Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang menzahirkan rasa syukur atas keputusan Lembaga Pengampunan berhubung permohonan pengampunan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak hari ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkembangan itu membawa kelegaan yang amat besar kepada bekas Perdana Menteri itu dan keluarga, serta disambut dengan penuh kesyukuran oleh seluruh keluarga besar UMNO Pahang.
“UMNO Pahang dengan penuh takzim merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas limpah perkenan baginda dalam perkara ini.
“UMNO Pahang turut merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang atas segala doa, keprihatinan dan usaha baginda sebelum ini berhubung perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, UMNO Pahang turut menyambut baik kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung inisiatif melancarkan Tabung Sumbangan bagi membantu Najib melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan.
Justeru, katanya UMNO Pahang akan turut memberikan sumbangan kepada tabung berkenaan sebagai tanda kebersamaan dan solidariti terhadap inisiatif yang diumumkan oleh Presiden UMNO.
“Pada masa yang sama, UMNO Pahang mengalu-alukan ahli-ahli UMNO di seluruh negeri Pahang yang berhasrat untuk turut menyumbang agar dapat berbuat demikian secara sukarela dan seikhlas hati melalui UMNO Bahagian masing-masing.
“Segala urusan kutipan dan penyaluran sumbangan hendaklah dilaksanakan secara telus, teratur serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya lagi.
Wan Rosdy dalam masa sama menyeru seluruh kepimpinan dan ahli UMNO Pahang agar menyambut perkembangan ini dengan penuh kesyukuran, sentiasa menjaga adab dalam setiap ungkapan serta menghormati segala proses yang ditetapkan.
Hari ini Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan media memaklumkan bahawa Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 meluluskan Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Najib dapat pengampunan bersyarat: Tahanan rumah, bayar denda RM50 juta
















