KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik (MUDA) Negeri Sembilan berpandangan badan eksekutif negeri sewajarnya kekal neutral dan berkecuali secara mutlak dalam krisis takhta di negeri itu.
Pengerusinya, Redzuan Ahmed Abdullah berkata, sebarang proses pewartaan tidak wajar diluluskan semata-mata bersandarkan sokongan majoriti ahli Exco terhadap proklamasi tersebut.
Dakwanya, ia memandangkan tindakan sedemikian jelas melangkaui sempadan kuasa pentadbiran kerajaan negeri.
Sementelah, tambah beliau, kenyataan terbuka yang dizahirkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun baru-baru ini secara tidak langsung mengesahkan wujudnya kecacatan serta kelompongan pada proklamasi berkenaan.
“Justeru, demi mendaulatkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta memelihara keutuhan Adat Perpatih, kebijaksanaan Majlis Raja-Raja Melayu dilihat sebagai ruang penyelesaian terbaik bagi menamatkan krisis ini secara tertib, harmoni, dan muktamad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Redzuan, kemelut yang melanda institusi diraja Negeri Sembilan ketika ini merupakan suatu perkara yang memerlukan penelitian rapi.
Dalam hal ini, ujarnya, kebijaksanaan dan keprihatinan Majlis Raja-Raja Melayu amatlah disandarkan bagi merungkai krisis ini demi memastikan keluhuran institusi diraja terus terpelihara.
“Adalah penting untuk ditegaskan secara perundangan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak mempunyai bidang kuasa (locus standi) untuk mencampuri atau menentukan urusan berkenaan takhta Negeri Sembilan,” katanya. – MalaysiaGazette
















