Penemuan bangunan kekal sarang burung walit mencetuskan tanda tanya siapakah yang berani membina struktur ii di kawasan hutan simpan Ramsar Tasik Bera?

BERA – Di sebalik operasi penguatkuasaan terhadap penerokaan tanah di kawasan Tasik Bera, sumber MalaysiaGazette menemukan kawasan yang didakwa telah diteroka secara meluas untuk tanaman kelapa sawit dan getah selain bangunan kekal dipercayai rumah burung walit dibina dalam kawasan hutan simpan.

Penemuan itu menimbulkan persoalan mengenai skala sebenar penerokaan di sekitar kawasan Ramsar Tasek Bera dan sama ada operasi yang dijalankan kerajaan adalah sebahagian daripada usaha membanteras kegiatan penerokaan tanah secara berleluasa.

Sementara itu, di beberapa lokasi lain didapati sebahagian kawasan hutan telah dibuka dan ditanam dengan pokok kelapa sawit dalam jumlah yang kelihatan ketara.

Tidak jauh dari kawasan tanaman, turut kelihatan struktur bangunan kekal yang dipercayai digunakan sebagai rumah burung walit.

Jika benar kawasan terbabit merupakan hutan simpan, kewujudan tanaman komersial dan bangunan kekal itu menimbulkan persoalan lebih besar ialah bagaimana aktiviti berkenaan boleh berlaku dan siapa yang mengusahakannya?

Penanaman sawit diusahakan secara besar-besaran dan terancang

 

Lebih penting, apakah status tanah berkenaan dan adakah sebarang kelulusan diberikan bagi aktiviti penanaman atau pembinaan terbabit?

Penemuan itu menjadi semakin signifikan apabila ia dilihat dalam konteks operasi penguatkuasaan yang turut membabitkan komuniti Orang Asli di sekitar Tasik Bera.

Masyarakat Orang Asli Semelai mempunyai hubungan turun-temurun dengan kawasan tersebut dan hutan di sekitarnya, termasuk mengamalkan adat serta bergantung kepada sumber semula jadi untuk kehidupan.

Justeru, timbul persoalan sama ada tindakan penguatkuasaan yang dijalankan merupakan sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk membersihkan kawasan hutan simpan daripada semua bentuk penerokaan tanpa kebenaran.

Jika penerokaan sawit dan bangunan kekal benar-benar wujud, adakah tindakan yang sama turut dikenakan terhadap pihak yang mengusahakannya?

Persoalan itu perlu dijawab berdasarkan siasatan dan rekod rasmi, termasuk siapa pemilik atau pengusaha tanaman, status premis, keluasan kawasan yang diteroka serta tempoh aktiviti tersebut berlangsung.

Tasik Bera merupakan Tapak Ramsar pertama Malaysia dan mempunyai nilai penting sebagai ekosistem tanah lembap.

Maka, sebarang penerokaan hutan secara berleluasa bukan sahaja menyentuh isu tanah, malah berpotensi memberi kesan kepada kawasan pemuliharaan yang mempunyai kepentingan antarabangsa.

Apa yang berlaku di kawasan ini akhirnya membawa kepada satu persoalan utama kerana jika operasi dilakukan untuk melindungi hutan simpan daripada penerokaan, siapa pula yang bertanggungjawab terhadap sawit yang sudah ditanam dan bangunan kekal yang sudah berdiri?

Jika benar kerajaan negeri sedang melindungi Ramsar Tasik Bera daripada terus menjadi kerakusan pihak tertentu, maka jangan kita halang.

Namun jika sebaliknya terjadi, kasihanilah orang yang menetap berabad di situ yang akan menjadi mangsa.

Difahamkan Hutan Simpan Kekal Tasik Bera yang digazetkan di bawah Konvensyen Ramsar Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here