KUALA LUMPUR – Parti Bersama Malaysia (Bersama) mahu kerajaan mengumumkan syarat-syarat tahanan rumah secara terperinci yang perlu dijalani bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pengasas Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, parti itu menggesa penjelasan tersebut disegerakan kerana jika syarat dilanggar, Najib berisiko dikenakan tindakan.
Dalam kenyataan Bersama yang turut dikongsi oleh bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen parti itu menegaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut digesa memberi penjelasan tahanan rumah terhadap Najib.
“Berita mengenai pengampunan bersyarat dan pelepasan tahanan di rumah yang diberikan kepada Datuk Seri Najib semestinya diterima berbeza-beza oleh pelbagai lapisan rakyat.
“Ada yang marah, ada yang kecewa, ada yang gembira. Saya berharap rakyat diberi ruang untuk menzahirkan pandangan mereka selagi di dalam batas undang-undang.
“Saya juga berharap rakyat biasa berpada-pada dalam menzahirkan pandangan mengenai perkara ini kerana ia telah berlaku, dan ia berlaku di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH),” ujar Bersama dalam kenyataan hari ini.
Menurut parti itu, menjadi tanggungjawab kepimpinan PH untuk untuk memberi penjelasan sebaiknya serta tidak mengulangi hujah yang sama dengan mendakwa perkara yang berlaku di luar kawalan mereka.
“Ini bukan soal politik tetapi hutang yang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PH ada kepada rakyat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terutamanya individu-individu tidak bernama yang mengambil risiko besar dalam menjalankan tugas harian mereka sehingga isu 1MDB diketahui umum,” ujar kenyataan.
Dakwa Bersama, Perdana Menteri mendapat `laba’ besar dari isu melibatkan 1MDB.
Ujarnya, selain dari ucapan di Parlimen yang ditulis oleh penulis-penulis ucapan, beliau tidak ke hadapan memperhalusi skandal 1MDB berbanding ramai rakyat biasa yang lain.
“Di kemuncak pertembungan skandal 1MDB di antara tahun 2015 hingga 2018, beliau berada di penjara. Tanggungjawab memperjuangkan hak rakyat bersabit 1MDB digalas oleh rakyat biasa di kalangan penjawat awam, media dan aktivis. Ramai dari mereka ini tidak bernama,” ujarnya.
Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan media memaklumkan Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Perkara itu dimaklumkan BHEUU menerusi kenyataan media berhubung Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung hari ini.
Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, keputusan itu tertakluk kepada syarat Najib membayar denda sebanyak RM50 juta. – MalaysiaGazette
















