KUALA LUMPUR – Tahanan rumah yang diperkenan kepada Datuk Seri Najib Razak menimbulkan pelbagai persoalan termasuk prosedur operasi standard (SOP) terhadap pelaksanaannya.
Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr. Yusfarizal Yussoff berkata, perkenan itu bukan pembebasan penuh (full release), sebaliknya jika syarat dilanggar, pengampunan boleh terbatal dan baki hukuman perlu diteruskan di penjara.
“Adakah Najib perlu berada di rumah 24 jam? Adakah beliau akan memakai electronic tag atau GPS? Bolehkah beliau keluar untuk rawatan, solat Jumaat atau urusan keluarga?” ujarnya dalam laman sosial Facebook hari ini.
Yusfarizal yang juga seorang peguam turut membangkitkan persoalan siapa yang memberi kebenaran atau memantau pergerakan bekas Perdana Menteri.
“Bolehkah pegawai penjara memeriksa rumah dan apakah akibat jika syarat dilanggar?” persoal beliau lagi.
Yusfarizal selanjutnya berkata, di negara seperti Singapura, tahanan rumah mempunyai syarat yang terperinci termasuk pemantauan elektronik.
Ujarnya, individu berkenaan turut diwajibkan berada di lokasi tertentu pada masa tertentu, pemeriksaan dan kuasa untuk memanggil semula banduan ke penjara jika syarat dilanggar.
Menurut beliau lagi, New Zealand dan United Kingdom juga mempunyai mekanisme `home detention/electronic monitoring‘ dengan syarat mempunyai pergerakan yang jelas.
“Apabila disebut `tahanan rumah’, ramai mungkin membayangkan seseorang itu sudah bebas. Sebenarnya tidak semudah itu.
“Dalam konteks keputusan pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak, beliau dibenarkan menjalani baki hukuman di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat pengampunan.
“Jika syarat dilanggar, pengampunan boleh terbatal dan baki hukuman perlu diteruskan di penjara,” ujarnya.
Yusfarizal turut menarik perhatian bahawa dalam isu Titah Adendum, Mahkamah Tinggi telah membincangkan persoalan sama ada terdapat mekanisme undang-undang sedia ada yang membolehkan arahan `house arrest‘ dilaksanakan.
Jelas beliau, mahkamah membezakan `house arrest” dengan mekanisme `release on licence‘ di bawah Seksyen 43 Akta Penjara 1995.
“Maka beberapa perkara masih perlu diperjelaskan,” ujarnya ketika mengulas kenyataan bahawa Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta. – MalaysiaGazette
















