KUALA LUMPUR – MCA menegaskan pengampunan bersyarat yang diperkenan kepada Datuk Seri Najib Razak perlu difahami sebagai dua proses yang berbeza dalam kerangka Perlembagaan.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, menghormati keputusan Lembaga Pengampunan tidak bermaksud menafikan keputusan mahkamah.
Tegas beliau, menghormati keputusan mahkamah juga tidak bermaksud mempertikaikan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
“MCA menjunjung kasih titah perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri.
“Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada sistem perundangan dan Perlembagaan negara yang perlu dihormati,” ujarnya dalam kenyataan dalam laman sosial Facebook hari ini.
Menurut Ka Siong, MCA akan terus mempertahankan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang sebagaimana yang termaktub dalam Rukun Negara, di samping menjunjung institusi Raja Berperlembagaan yang menjadi salah satu tonggak utama negara.
Ujarnya, parti itu juga akan terus berpegang kepada prinsip bahawa institusi mesti dihormati, undang-undang mesti ditegakkan dan integriti mesti dipertahankan.
Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan media memaklumkan, Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Perkara itu dimaklumkan BHEUU menerusi kenyataan media berhubung Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung hari ini.
Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, keputusan itu tertakluk kepada syarat Najib membayar denda sebanyak RM50 juta. – MalaysiaGazette
















