Foto: FB Polis Johor

JOHOR BAHRU – Polis Johor menumpaskan dua sindiket dadah dengan penahanan empat individu serta rampasan pelbagai jenis dadah seberat lebih 25 kilogram (kg) dalam operasi di Kulai dan Kluang, minggu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata dalam operasi pertama pada 11 Sept lepas, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kulai menyerbu dua lokasi di sekitar Kampung Sepakat Baru, Senai, pada 6 petang dan menahan tiga individu, iaitu dua lelaki tempatan serta seorang wanita berusia 18 hingga 54 tahun.

Beliau berkata pemeriksaan di lokasi pertama di sebuah rumah yang dibina secara haram di Kampung Sepakat Baru menemukan syabu seberat 72 gram, heroin (59 gram), pil Yaba (5 gram), ganja (57 gram) dan 10 peket plastik disyaki mengandungi kafein, selain turut merampas sepucuk pistol jenis CZ dan 79 butir peluru 9mm.

“Dalam serbuan kedua di lokasi yang sama, polis menahan seorang wanita berusia 18 tahun dan merampas tiga peket plastik disyaki mengandungi syabu seberat kira-kira 75 gram serta satu peket disyaki heroin seberat 10 gram, dengan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah 0.278 kg bernilai kira-kira RM11,401.

“Berdasarkan risikan, dua lelaki itu dikenal pasti sebagai pengedar dadah manakala wanita berkenaan berperanan sebagai pengurus kewangan yang menguruskan pembayaran hasil jualan dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata ketiga-tiga mereka adalah rakan sindiket serta tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dan sindiket itu dipercayai aktif sejak Jun lepas.

Katanya, hasil saringan awal air kencing mendapati kedua-dua lelaki terbabit positif morfin dan mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah, manakala wanita berkenaan negatif dadah.

Ketiga-tiga suspek direman selama 10 hari sehingga 21 Sept ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Lucuthak Harta) 1988 dengan jumlah sitaan kira-kira RM155,788 melibatkan sebuah Mercedes C180, lori Isuzu, motosikal Yamaha LC, motosikal Honda Wave, wang tunai RM51,000 dan barang kemas bernilai RM22,788, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dan sitaan bagi kes pertama dianggarkan RM197,189,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi kedua 13 Sept lepas, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kluang menyerbu sebuah rumah di Jalan Jelutong, Taman Lin Seng, Kluang pada 3 petang dan menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 18 tahun.

Ab Rahaman berkata hasil pemeriksaan menemukan lapan peket plastik disyaki syabu seberat 8.11 kg dan 38 peket plastik disyaki heroin seberat 17.84 kg, dengan nilai keseluruhan kira-kira RM1.29 juta.

Beliau berkata hasil risikan mendapati suspek berperanan sebagai penjaga stor bagi menyimpan bekalan dadah, manakala sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak Januari lepas.

“Suspek masuk ke Malaysia secara sah menggunakan pasport melalui pintu masuk di Pelabuhan Klang pada 2025, namun telah melebihi tempoh visa pelawat selama dua bulan yang diberikan kepadanya,” katanya.

Katanya, suspek direman dari 14 hingga 20 Sept ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ab Rahaman berkata dadah yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan jika terlepas ke pasaran, ia dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 130,906 penagih.

“Dalang bagi kedua-dua sindiket sedang dikesan, manakala siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti rakan-rakan sindiket yang lain,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here