SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil tindakan sekiranya ada peniaga yang menaikkan harga barangan khususnya sayuran secara tidak munasabah ekoran fenomena cuaca panas ketika ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata kementerian itu memantau harga barang secara harian bagi memastikan tidak berlaku pencatutan harga barangan yang tidak munasabah.
“Apabila ada kenaikan harga dan perkara itu sesuatu yang kita fikir luar biasa, KPDN ada punca kuasa untuk mendapatkan kos sepanjang rantaian bekalan.
“Usaha itu antaranya membabitkan kos pengeluaran dan logistik, untuk memastikan harga (yang dipaparkan) tersebut munasabah atau tidak,” katanya kepada pemberita bagi mengulas persediaan kementerian dalam menghadapi kenaikan harga sayuran dan rempah ratus ketika fenomena El Nino.
Beliau berkata demikian mberita selepas pelancaran Program Pasar PATUH 2026 dan Inisiatif Jualan Rahmah MADANI (PJRM@Pasar) Peringkat Negeri Selangor di Pasar Moden Seksyen 16, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fuziah berkata Program Pasar PATUH kini merangkumi 75 pasar dan 7,130 peniaga di seluruh negara demi memelihara hak pengguna.
Katanya untuk Selangor sahaja, sebanyak tujuh pasar awam utama telah diserapkan di bawah program tersebut, melibatkan sesi advokasi dan pemeriksaan kesedaran terhadap hampir 300 premis peniaga. – BERNAMA
















