MELAKA – Menjelang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dijangka esok, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menitipkan tiga pesanan penting kepada penjawat awam.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mengingatkan mereka supaya terus menjaga integriti, menggunakan kecerdasan buatan (AI) secara bijak dan menjadikan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) sebagai jiwa perkhidmatan.
Ab Rauf berkata, penjawat awam perlu memastikan amanah yang diberikan rakyat terus dipelihara tanpa mengira perubahan atau perkembangan yang berlaku dalam pentadbiran negeri.
“Jawatan bukan keistimewaan, jawatan adalah amanah. Jangan kerana satu keputusan yang salah, nama sendiri tercalar dan kepercayaan rakyat kepada seluruh perkhidmatan awam turut terjejas.
“Kalau amanah rakyat kita pegang, kepercayaan rakyat jangan sesekali kita gadaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Petugas-Petugas Perkhidmatan Awam Tahun 2025/2026 yang menghimpunkan lebih 5,000 penjawat awam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam ini.
Pesanan kedua, katanya, penjawat awam perlu memanfaatkan teknologi AI untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan, namun tidak menyerahkan sepenuhnya pertimbangan manusia kepada teknologi.
“Saya mahu penjawat awam Melaka menggunakan AI untuk bekerja lebih pantas, lebih tepat dan lebih baik.
“Tetapi ingat, guna AI untuk membantu kita berfikir, bukan menggantikan kita berfikir,” katanya.
Ab Rauf berkata, pesanan ketiga ialah supaya penjawat awam menjadikan Melaka Sayang Rakyat sebagai asas dalam melaksanakan tanggungjawab, dengan memberi tumpuan kepada layanan kepada rakyat dan penyelesaian masalah.
“Kerana akhirnya, rakyat tidak menilai kerajaan daripada slogan yang kita laungkan, tetapi daripada layanan yang mereka terima dan masalah yang kita selesaikan,” katanya.
Beliau berkata, prinsip itu penting kerana kejayaan sesebuah pentadbiran bukan hanya diukur melalui jumlah program yang dilaksanakan, sebaliknya turut dilihat melalui mutu perkhidmatan yang diterima rakyat. – MalaysiaGazette















