KUALA LUMPUR – Pertemuan hampir sejam antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Negeri Sembilan, Changkat Persekutuan di sini petang tadi menjadi perkembangan terbaharu susulan kemelut pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan.
Kenderaan yang membawa Perdana Menteri tiba di perkarangan istana itu kira-kira 6 petang sebelum beliau beredar sekitar 6.57 petang dalam suasana hujan selepas menghadap Tuanku Muhriz.

Bagaimanapun kelibat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang sebelum ini dilaporkan turut menghadap Tuanku Muhriz tidak kelihatan di lokasi berkenaan.
Pertemuan berkenaan berlangsung sehari selepas Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan semua ahli MMKN Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta selepas mendapati mereka memungkiri sumpah jawatan masing-masing.
Keputusan itu dibuat berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang menyatakan seseorang ahli MMKN memegang jawatan selagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.

Perkembangan terbaharu itu menjadi lebih signifikan apabila Ismail sebelum ini menegaskan,kesemua 10 ahli MMKN masih sah menjalankan tugas selain mendakwa tindakan menamatkan pelantikan Exco tanpa nasihat atau permintaan rasmi Menteri Besar adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Beliau turut menyatakan tidak ada keperluan mengemukakan senarai baharu Exco kerana barisan sedia ada masih menjalankan tugas seperti biasa.
Justeru, pertemuan Anwar dengan Tuanku Muhriz petang ini dilihat berlaku ketika wujud percanggahan pendirian berhubung kedudukan Exco serta tafsiran kuasa di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan sekali gus menjadi tumpuan kepada perkembangan seterusnya mengenai pentadbiran kerajaan negeri.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai perkara yang dibincangkan dalam pertemuan hampir sejam itu, termasuk sama ada terdapat keputusan baharu berkaitan kedudukan MMKN atau langkah seterusnya bagi menyelesaikan kemelut tersebut. – MalaysiaGazette
















