KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan tiada pemasangan pagar besi akan dibina di kediaman Datuk Seri Najib Razak sekiranya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah di Jalan Langgak Duta di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam menepis khabar itu dan memberi jaminan tiada kawalan ketat akan dikenakan kerana pihaknya hanya bertanggungjawab berkaitan soal keselamatan di luar kediaman sahaja.
“Tak ada, tak ada kawalan yang begitu ketat. Pihak penjara akan bertanggungjawab di bahagian dalam. Pihak polis akan bertanggungjawab di bahagian luar.
“(Akan ada dipasang pagar besi?) Tak… itu semua khabar angin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mesyuarat di kediaman berkenaan hari ini.

Beliau sebelum itu mengadakan mesyuarat bersama pegawai Jabatan Penjara Malaysia bagi menilai kesesuaian kediaman berkenaan.
Mengulas mesyuarat itu, Anuar Bakri berkata, pertemuan membabitkan urusan penilaian kediaman sebagai lokasi tahanan rumah dengan pihak polis diminta hadir bersama bagi meneliti aspek keselamatan.
Jelas beliau, tanggungjawab berkaitan aspek tahanan pula akan dikendalikan pihak Jabatan Penjara Malaysia.
“Pihak penjara minta pihak polis hadir bersama untuk tengok dari segi aspek kita, pihak polis, aspek keselamatan. Daripada segi aspek tahanan, pihak penjara yang betul-betul menjawab,” katanya.
Beliau berkata, polis bersedia melaksanakan kawalan keselamatan pada bila-bila masa bagi memastikan keselamatan di bahagian luar dan dalam kediaman berkenaan tertakluk kepada arahan rasmi.
Mesyuarat berkenaan berlangsung selama kira-kira dua jam sebelum berakhir pada kita-kira 4.20 petang. – MalaysiaGazette
















