KUALA LUMPUR – Situasi jerebu di Kanowit, Sarawak semakin membimbangkan apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 212 setakat jam 10 pagi hari ini, yang berada pada kategori sangat tidak sihat.
Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, keadaan itu memerlukan perhatian dan tindakan sewajarnya kerana melibatkan kesihatan serta keselamatan masyarakat, khususnya kanak-kanak, warga emas dan golongan berisiko.
“Saya memandang serius situasi jerebu yang sedang melanda Kanowit, apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) setakat jam 10.00 pagi, 21 September 2026 telah mencecah 212, iaitu pada kategori sangat tidak sihat.
“Keadaan ini memerlukan perhatian dan tindakan sewajarnya kerana melibatkan kesihatan serta keselamatan masyarakat, khususnya kanak-kanak, warga emas dan golongan berisiko,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum dan menyokong langkah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak menutup sementara semua sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah Kanowit berkuat kuasa serta-merta hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh penutupan sekolah merupakan langkah wajar bagi memastikan pendidikan dapat diteruskan tanpa mengabaikan aspek kesihatan dan keselamatan murid serta warga pendidik.
Dalam pada itu, Aaron Ago menyeru masyarakat Kanowit supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah dan mengelakkan aktiviti luar yang tidak perlu sepanjang keadaan jerebu berterusan.
Beliau turut meminta orang ramai supaya sentiasa mengikuti perkembangan bacaan IPU serta nasihat pihak berkuasa, selain meminta ibu bapa dan penjaga memberi perhatian terhadap keadaan kesihatan anak-anak.
“Golongan yang lebih berisiko perlu mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang keadaan jerebu ini berterusan,” katanya.
Aaron Ago berkata, Pejabat Ahli Parlimen Kanowit akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan berhubung rapat dengan agensi berkaitan bagi memastikan kebajikan serta keperluan rakyat diberikan perhatian.
“Sekiranya keadaan memerlukan, pejabat saya bersedia membantu menyelaras bantuan yang bersesuaian kepada komuniti yang terjejas,” katanya. – MalaysiaGazette
















