KUALA LUMPUR – Pengampunan bersyarat yang diperkenan terhadap Datuk Seri Najib Razak, bukan merupakan layanan istimewa kerana ia tidak membatalkan sabitan beliau dalam kes SRC International Sdn. Bhd.
Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Mohd. Omar Mustapha berkata, bekas Perdana Menteri telah didakwa, dibicarakan, disabit dan dipenjarakan sejak 23 Ogos 2022.
Menurut beliau, pengampunan bersyarat yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) membolehkan baki hukuman dijalani di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat termasuk pembayaran denda RM50 juta.
“Sebab itu saya agak hairan apabila hari ini ada pula yang bercakap seolah-olah Datuk Seri Najib sedang diberikan layanan istimewa.
“Layanan istimewa yang mana? Beliau telah didakwa, dibicarakan, disabitkan dan dipenjarakan. Kalau beliau selama ini boleh menanggung hukuman itu seorang diri, saya tidak nampak apa yang istimewa apabila Seri Paduka menzahirkan ehsan kepada beliau.
“Jangan pula apabila beliau dihukum kita kata itu kedaulatan undang-undang, tetapi apabila Raja menggunakan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan, tiba-tiba kita kata itu layanan istimewa,” ujarnya dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook.
Ketua Bahagian Langkawi itu mengulas laporan media kelmarin berhubung perkenan YDPA yang memutuskan pengampunan bersyarat terhadap Najib.
Mohd. Omar selanjutnya berkata, beliau menolak pendakwaan terpilih kerana skandal kes yang dihadapi Najib begitu besar, jadi mustahil jika bekas Perdana Menteri seorang sahaja didakwa.
Menurut beliau, terdapat bukti bahawa wujud pihak lain, organisasi di luar atau dalam negara, namun mereka tidak didakwa.
“Kalau ada orang lain yang merancang, mengawal akaun atau membantu melaksanakan penyelewengan itu, mengapa mereka sehingga sekarang tidak turut dibawa ke muka pengadilan?
“Saya tidak pernah kata jangan dakwa Datuk Seri Najib, beliau hadir ke mahkamah, dibicarakan, disabitkan dan menjalani hukumannya. Namun undang-undang tidak boleh keras kepada seorang tetapi lembut kepada yang lain,” ujarnya.
Mohd. Omar turut menyelar sikap segelintir pihak yang terlalu mudah membawa cerita bahawa senario yang berlaku hanyalah permainan elit Melayu saling melindungi sesama sendiri.
Menurut beliau, prerogatif pengampunan merupakan hak dan kuasa mutlak YDPA sebagaimana yang termaktub dalam sistem Raja Berperlembagaan dan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, hak mutlak yang dizahirkan oleh YDPA ke-16 terdahulu telah dilaksanakan hanya separuh jalan oleh Kerajaan Perpaduan dan kini YDPA ke-17 telah memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib.
“Sebagai orang yang pernah terlibat secara langsung dalam perjuangan berdekad Datuk Seri Najib untuk negara dan mengenangkan budi jasanya, saya bersyukur beliau mendapat ehsan dan perkenan daripada dua Raja Melayu selaras dengan bidang kuasa Baginda.
“Soal hukuman dan pengampunan bersyarat sudah diputuskan oleh mahkamah dan oleh Raja. Kes Datuk Seri Najib (1Malaysia Development Berhad) masih dalam rayuan, dan biarlah mahkamah yang memutuskannya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

















PH DAP ni mmg derhaka secara nyata kepada titah dua orang DYMM Agong iaitu Sultan Pahang & Sultan Johor. Ada orang Melayu masih nak sokong PH??