KUALA LUMPUR – Persatuan Teater Malaysia (PTM) menyokong pendirian Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang bahawa kebebasan berkarya tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memperlekehkan asas kenegaraan atau mencetuskan provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“PTM menyokong siasatan yang telus berasaskan undang-undang. Jika terdapat bukti pelanggaran undang-undang, biarlah tindakan diambil mengikut proses yang sewajarnya. Jika terdapat konteks yang tidak diketahui daripada klip yang tular itu, perkara berkenaan juga perlu dijelaskan secara terbuka,” menurut kenyataan PTM.
Menurut persatuan itu, perkara yang perlu diberi perhatian bukan sekadar sama ada sesuatu persembahan berbentuk lucu, satira atau eksperimental, sebaliknya setiap karya perlu memastikan simbol, prinsip dan asas yang menyatukan rakyat Malaysia tidak dijadikan bahan sindiran atau ejekan.
PTM berkata, Rukun Negara bukan sekadar ikrar yang dibaca pada majlis rasmi, sebaliknya merupakan asas pembinaan identiti nasional serta usaha memupuk semangat perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.
“Yang penting, sebarang tindakan yang menormalisasikan penghinaan terhadap prinsip yang menjadi asas penyatuan rakyat wajar ditentang,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, PTM menegaskan, kebebasan seni dan kreativiti kekal penting dalam sebuah masyarakat demokratik, namun kebebasan berkenaan hadir bersama tanggungjawab untuk menghormati perkara yang menjadi asas kehidupan bersama.
Menurutnya, tanggungjawab tersebut amat penting apabila sesuatu karya menyentuh isu kaum, identiti, institusi negara dan keharmonian masyarakat.
“Kita tidak mahu Malaysia menjadi negara yang takut kepada kritikan. Tetapi kita juga tidak mahu perkara yang sepatutnya menyatukan rakyat akhirnya dijadikan alat untuk menghina atau memecah-belahkan masyarakat,” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette
















