MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh membidas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Amirudin Shari yang meminta Barisan Nasional (BN) berterus terang mengenai pendirian kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau yang juga Pengerusi BN Melaka berkata, parti itu akan mengeluarkan surat rasmi kepada mana-mana parti yang berminat untuk menjadi rakan strategik bagi menghadapi PRN berkenaan.

Beliau berkata, semua cadangan kerjasama akan dibentangkan kepada peringkat berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Saya jawab secara ringkas sajalah. Tak perlu kita berunding dalam media sosial.
“Kita akan keluarkan surat rasmi kepada semua parti untuk membentangkan bagaimana untuk menjadi rakan strategik yang terbaik, dan kita akan bentang kepada semua peringkat untuk kita buat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan di Melaka, di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Ab Rauf berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor semalam yang meminta BN menyatakan pendirian sekiranya tidak berminat untuk bekerjasama.
Amirudin berkata, PH tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya BN tidak berminat untuk bekerjasama namun meminta pendirian itu dimaklumkan supaya PH dapat meneruskan persiapan menghadapi PRN Melaka tidak lama lagi.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, BN menghormati semua parti yang berminat untuk bekerjasama, namun rundingan berhubung perkara itu perlu dilakukan menerusi saluran rasmi dan bukan melalui media sosial.
“Setakat hari ini, saya amat menghormati kepada semua parti yang berminat untuk bersama-sama dengan kita, tetapi apa juga sekalipun, perbincangan ini tertakluk kepada perbincangan rasmi yang kita akan lakukan di WTC nanti.
“Jadi jangan runding dalam media sosial, nanti rakyat ada different perception (persepsi berbeza),” katanya.
Tambahnya, BN tidak menutup pintu kepada rundingan, namun pada masa sama tidak mahu membuka ruang perbincangan secara terbuka tanpa proses rasmi.
“Kita ini tidak menutup pintu serapat-rapatnya dan kita juga tak membuka pintu seluas-luasnya untuk perundingan,” katanya. – MalaysiaGazette
















