MELAKA – Lebih RM200,000 hadiah wang tunai disediakan untuk penjawat awam negeri dan Persekutuan sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen serta pengorbanan mereka sepanjang 2025 dan 2026.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, cabutan bertuah itu atas kesanggupan mencurahkan masa, tenaga dan keringat dalam menjayakan pelbagai program kerajaan.
Beliau berkata, hadiah wang tunai itu diagihkan mengikut beberapa kategori, dengan 300 penerima masing-masing menerima RM100, 225 penerima (RM200), 117 penerima (RM300), 60 penerima (RM500) dan 60 penerima (RM1,000).
Turut disediakan ialah dua hadiah bonus bernilai RM5,000 setiap seorang, selain hadiah utama berupa dua unit motosikal elektrik, 10 unit televisyen dan pelbagai hadiah lain.
“Malam ini saya tak mahu saudara-saudari pulang dengan ucapan terima kasih sahaja. Saya tahu banyak masa, tenaga, keringat yang dicurahkan pada tahun 2025 dan 2026, tak cukup rasanya kalau saya sekadar mengucapkan terima kasih.
“Jadi malam ini kita ada hadiah utama yang bukan biasa-biasa iaitu unit motosikal elektrik, 10 unit TV dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Petugas-Petugas Perkhidmatan Awam Tahun 2025/2026 yang menghimpunkan lebih 5,000 penjawat awam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam ini.
Ab Rauf berkata, penghargaan itu diberikan sebagai tanda terima kasih kepada penjawat awam yang sentiasa memastikan urusan pentadbiran serta perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar.
Katanya, komitmen penjawat awam amat dihargai kerana mereka bukan sahaja bertugas pada hari bekerja, malah turut terlibat dalam pelbagai program pada hujung minggu dan di luar waktu pejabat.
Pada majlis sama, Ab Rauf menyeru semua penjawat awam supaya terus berkhidmat dengan amanah serta menjadikan semangat Melaka Sayang Rakyat sebagai jiwa dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Teruslah berkhidmat dengan amanah. Bekerjalah bersama dengan pimpinan dan jiwa Melaka Sayang Rakyat.
“Marilah bersama-sama kita pastikan Melaka terus bergerak, terus terbela, nama Melaka terus menggamit dunia,” katanya. – MalaysiaGazette
















