KUALA LUMPUR – Belia PPP menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi institusi pendidikan swasta (IPS) tertentu yang dikendalikan syarikat sendirian berhad.
Ketua Belia PPP, Sathiah Sudakaran berkata, keputusan itu dilihat dapat mengurangkan halangan kepada pelaburan sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada pengusaha pendidikan swasta untuk mengembangkan institusi mereka.
“Belia PPP menghargai keputusan kerajaan dan KPM yang mengambil langkah pragmatik dan tepat pada masanya ini. Pendidikan perlu terus memberi tumpuan kepada kualiti akademik, kemampuan, akses serta kebajikan pelajar.
“Syarat berkaitan pemilikan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada penyedia pendidikan yang berkeupayaan untuk melabur, melakukan pembaharuan dan mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sathiah berkata, usaha memperkasa masyarakat Bumiputera tetap penting namun ia boleh dilaksanakan melalui pendekatan lebih bersasar seperti biasiswa, pembangunan profesional, sokongan perniagaan dan kerjasama strategik.
Katanya, pendekatan berkenaan tidak semestinya perlu dilaksanakan melalui syarat ekuiti yang berpotensi mengekang perkembangan sektor pendidikan swasta.
“Belia PPP berharap dasar baharu ini dilaksanakan secara telus dan konsisten, dengan pengawasan kawal selia yang kukuh bagi memastikan semua IPS mengekalkan standard akademik yang tinggi, melindungi kepentingan pelajar dan menyediakan peluang pekerjaan yang adil kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.
Menurutnya, keputusan itu turut mencerminkan kesediaan KPM mendengar pandangan pihak berkepentingan serta mengambil pendekatan lebih terbuka terhadap pembangunan sektor pendidikan.
Beliau berkata langkah berkenaan boleh menyumbang kepada usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau yang lebih berdaya saing dan mempunyai kepelbagaian. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
KPM gugur syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi IPS dikendalikan syarikat sendirian berhad
















