KOTA TINGGI – Abang kepada lelaki yang disyaki mengamuk dengan parang dan mencampak budak berusia lima tahun dalam sungai hingga maut pagi tadi dikatakan pulang ke Tanjung Sedili untuk mengambil ubat sebelum tragedi itu berlaku.
Perkara tersebut diceritakan bapa mangsa, Mustafa Saleh, 40-an semasa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Muszaidi Makmor selepas melawatnya di Klinik Kesihatan Tanjung Sedili petang tadi.
Mangsa yang maut adalah anak Mustafa.
Menurut Muszaidi, Mustafa dan anaknya itu menetap dan berniaga kedai makan di Muar dan dua beranak itu bersama-sama suspek iaitu adiknya mahu ke Tanjung Sedili bagi mengambil ubat.
“Malangnya suspek yang dipercayai kurang kewarasan bertindak di luar jangkaan,” kata wakil rakyat itu menerusi perkongsian dalam Facebook miliknya hari ini.
Muszaidi turut menzahirkan simpati kepada keluarga mangsa dan berharap mereka diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian berkenaan.
“Moga keluarga ini diberikan ketabahan atas ujian yang sangat berat ini,” katanya.
Terdahulu, portal ini melaporkan polis suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun selepas disyaki mencampak anak saudara perempuannya ke dalam sungai hingga maut.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, suspek ditahan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi.
Beliau berkata, sebelum kejadian, suspek dipercayai mencampak mangsa ke dalam sungai sebelum bertindak mengamuk dengan bersenjatakan parang dan mengejar bapa mangsa berusia 40 tahun.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Lelaki didakwa amuk dengan parang, campak budak dalam sungai hingga maut ditahan
















