Foto IG Jaclyn Victor.

KUALA LUMPUR – Impian penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor untuk menjayakan konsert solo diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bakal menjadi kenyataan pada 17 Oktober depan menerusi penganjuran pementasan khas di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di sini.

Konsert Jaclyn Victor – Gemilang Bersama MPO itu akan dipimpin oleh konduktor muzik berpengalaman Ahmad Muriz Che Rose dan menampilkan kira-kira 20 lagu dalam persembahan berdurasi 90 minit.

Jaclyn, 48, berkata persembahan solo di dewan berprestij itu akan menjadi antara pencapaian paling bermakna sepanjang pembabitannya dalam bidang nyanyian.

“Ketika mula-mula berada dalam industri, bila mendengar nama MPO saya rasa takut dan berdebar, seperti mahu masuk ke kedai jenama mewah. Apabila (akhirnya) dapat berdiri di sini dan mengadakan konsert solo sendiri bersama-sama MPO antara satu impian terbesar saya.

“MPO berada di tahap yang berbeza, jadi saya rasa sangat bersyukur apabila peluang ini akhirnya tiba,” katanya kepada pemberita selepas sidang media konsert berkenaan di DFP di sini.

Penganjuran itu meletakkan Jaclyn sebaris dengan beberapa penyanyi tersohor tanah air yang pernah diiringi MPO, antaranya Tan Sri SM Salim, Datuk Seri Sheila Majid, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan Datuk M. Nasir.

Kelainan konsert itu antaranya ialah penglibatan Jaclyn dalam genre opera klasik Itali menerusi lagu O Mio Babbino Caro serta Time to Say Goodbye, sebagai menyahut cabaran Ahmad Muriz.

“Abang Muriz suka mencabar saya untuk lakukan sesuatu yang baharu. Walaupun saya bukannya penyanyi klasik, saya suka mengambil peluang ini untuk mencabar batas kemampuan vokal saya,” katanya yang pernah tiga kali tampil sebagai penyanyi undangan bersama-sama dengan MPO.

“Menyanyi dengan orkestra tiada ruang untuk membuat kesilapan. Garisan emosi dan corak pernafasan pun penonton boleh dengar dengan jelas, jadi saya perlu mempunyai fokus yang amat tinggi,” kata pelantun lagu Gemilang  itu.

Konsert ‘Jaclyn Victor – Gemilang Bersama MPO’ itu akan dipimpin oleh konduktor muzik berpengalaman Ahmad Muriz Che Rose. – Bernama

Konsert itu bakal menampilkan gubahan simfoni baharu oleh barisan penyusun muzik termasuk Aubrey Suwito, Luqman Aziz, Gerard Salonga, Shahhakam Mokhtar, Teuku Umar Ilany, Leonard Yeap dan Ahmad Muriz dengan lagu-lagu popular Jaclyn yang akan diberi nafas baharu termasuk Gemilang, Ikut Rentakku, Di Bawah Pohon Asmara, Tiada Lagi Indah dan Beribu Sesalan.

“Saya tidak akan turunkan key asal, walaupun ada lagu yang sudah berusia 2O tahun. Jika kita terlalu selesa, kita tidak akan mencabar potensi diri kita,” katanya.

Selain koleksi lagu tempatan dan klasik Itali, konsert itu turut dipelbagaikan dengan seleksi lagu pelbagai bahasa dan genre antaranya Tunggu SekejapWhen I Fall In LoveSuperwomanDiamonds Are ForeverChong Bai, dan Defying Gravity.

Sementara itu, Ahmad Muriz berkata, beliau sengaja mencabar Jaclyn untuk keluar daripada zon selesa bagi menampilkan sisi berbeza keupayaan vokalnya yang jarang disaksikan penonton.

“Apabila kita bercakap mengenai Jaclyn Victor, semua orang sudah sedia maklum dengan kehebatan serta kekuatan vokalnya. Jadi untuk konsert di DFP ini, saya mahu cabar dia keluar daripada zon selesa dan lakukan sesuatu di luar jangkaan.

“Walaupun pada awalnya dia agak keberatan dan bimbang, saya yakin dengan teknik serta kawalan vokal yang dimilikinya, Jaclyn mampu membawakannya dengan sangat baik dan bakal memberi kejutan kepada penonton,” katanya.

Pada konsert itu, Jaclyn bakal menggayakan busana eksklusif rekaan pereka fesyen tempatan Rizman Ruzaini. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here