seramai 155 peserta daripada fasa pertama dan kedua yang telah mengikuti latihan pada Julai dan Ogos 2026 dalam enam bidang minyak dan gas.

KUALA LUMPUR – Seramai 155 graduan berjaya menamatkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) kali kedua dalam usaha untuk membina masa depan yang memenuhi keperluan sebenar industri bidang minyak dan gas.

Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, mereka merupakan Program Latihan Kemahiran Asnaf 2026 di bawah inisiatif tajaan penuh MAIPk bagi memberi peluang kedua kepada golongan belia asnaf di Perak.

Menurutnya, bagi tahun 2026, MAIPk telah memberikan mandat untuk melatih keseluruhan seramai 255 peserta dalam tujuh bidang kemahiran iaitu Rigger Scaffolding TG20, Gas Pipe Fitter, Gas Pipe Insulation, Tank Cleaning, Fire Watcher, Non-Destructive Testing (NDT) dan Maritime Culinary.

“Majlis kali ini meraikan seramai 155 peserta daripada fasa pertama dan kedua yang telah mengikuti latihan pada Julai dan Ogos 2026 dalam enam bidang minyak dan gas iaitu Fire Watcher, Tank Cleaning, Rigger Scaffolding TG20, Gas Pipe Fitter, Gas Pipe Insulation dan NDT.

“Para peserta telah menjalani latihan antara satu hingga dua bulan serta menerima latihan teknikal dan pelbagai pensijilan yang berkaitan dengan keperluan industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis apresiasi dan pengiktirafan peserta telah berlangsung di Dewan Ibnu Khaldun, Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu @ Terengganu Skills, Kuala Terengganu yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SRC Global Resources Sdn. Bhd., Datuk Nor Hisham Mohd. Arifin.

Syamsul Hazeman berkata, majlis tersebut bukan sekadar meraikan penerimaan sijil, sebaliknya mengiktiraf usaha dan keberanian para peserta untuk mengubah kehidupan mereka.

Katanya, sijil yang diterima merupakan bukti bahawa para peserta telah berusaha meningkatkan keupayaan diri, membina kemahiran dan membuat persediaan untuk memasuki alam pekerjaan.

“Pendekatan MAIPk dalam memperkasa golongan asnaf bukan sekadar tertumpu pada bantuan bagi memenuhi keperluan semasa, malah menjadikan bantuan zakat sebagai satu bentuk pelaburan sosial yang mampu mengubah kehidupan penerima dalam jangka panjang.

“Bantuan zakat perlu menjadi batu loncatan, bukan tempat untuk seseorang terus berhenti. Melalui latihan kemahiran, peserta dibimbing daripada menerima bantuan kepada memiliki kemahiran, seterusnya memperoleh pensijilan, pekerjaan dan pendapatan sehingga mampu berdikari serta membantu keluarga masing-masing,” katanya.

Sementara itu, SRC Global Resources Sdn. Bhd. telah diberikan amanah sebagai penyedia dan penyelaras latihan, termasuk menguruskan proses pemilihan peserta, latihan kompetensi, pensijilan, pemantauan serta penempatan pekerjaan selepas tamat latihan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here