Terry Tom Bejiod @ Mohammad Hanaffi (tengah) muncul juara PJ Joran 2026 selepas menaikkan ikan keli seberat 6.740 kilogram (kg) di Tasik Bandaran Kelana Jaya semalam.

PETALING JAYA – Penyertaan kali pertama membawa tuah kepada Terry Tom Bejiod @ Mohammad Hanaffi apabila muncul juara PJ Joran 2026 selepas menaikkan ikan keli seberat 6.740 kilogram (kg) di Tasik Bandaran Kelana Jaya di sini semalam.

Mohammad Hanaffi, 45, dari Puchong yang menggunakan hati ayam sebagai umpan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 selepas tangkapannya muncul sebagai ikan terberat dalam pertandingan tersebut.

Menurutnya, dia pada mulanya tidak merancang menyertai pertandingan berkenaan namun akhirnya mengambil bahagian selepas dipujuk anaknya.

Tempat kedua dimenangi Azrul Amrie Mohd. Zailani, 27, dari Gombak yang membawa pulang RM2,000 selepas menaikkan ikan keli seberat 6.390 kg menggunakan umpan cacing.

Mislan Mohd. Jawahar, 60, dari Kajang pula menduduki tempat ketiga dengan tangkapan ikan keli seberat 5.190 kg menggunakan umpan cacing sekali gus menerima hadiah RM1,000.

PJ Joran 2026 yang merupakan aktiviti tahunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan memasuki tahun kelapan penganjurannya itu mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai 640 peserta.

Peserta terdiri daripada kaki pancing dari Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak sekali gus melepasi sasaran awal penganjur seramai 500 peserta.

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Sharinaz Samsudin berkata, selain menjadi aktiviti riadah bersama keluarga, program berkenaan turut bertujuan membantu membersihkan tasik serta memelihara ekosistem air.

Menurutnya, pertandingan itu juga menjadi antara usaha mengawal pembiakan spesies ikan larangan antaranya keli Afrika, ikan raja dan tilapia yang terdapat di tasik berkenaan.
Sepanjang pertandingan, hampir 300 ekor ikan berjaya didaratkan peserta termasuk tilapia, baung, ikan raja, ketutu dan haruan.

Katanya, sambutan tinggi terhadap program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Selangor, OUG Worldwide Sdn. Bhd., TCE Tackles Sdn. Bhd. dan Proton itu menyaksikan MBPJ akan meneruskan PJ Joran sebagai acara tahunan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here